MELAKA – Kerajaan negeri berharap hukuman rotan dikembalikan ke dalam sistem pendidikan negara bagi membendung salah laku disiplin pelajar sehingga ada yang didakwa terlibat dalam jenayah seksual.
Namun, hukuman itu perlulah dilaksanakan secara berhemah dan bertujuan mendidik, bukannya menyiksa, tegas Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
“Hukuman rotan perlu dipertimbangkan semula oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya setuju hukuman rotan namun penentunya adalah KPM dan tujuan (rotan) ini adalah untuk mendidik, bukan menyiksa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan polis yang menahan reman empat pelajar lelaki Tingkatan 5 yang disyaki terlibat kejadian rogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun itu direman selama enam hari sehingga 16 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan. – MalaysiaGazette.
Terdahulu, laporan ekslusif MalaysiaGazette mendedahkan kejadian rogol berlaku kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
Mangsa dipercayai diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek, manakala dua lagi rakan mereka menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.
Kejadian terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.
Kejadian menggemparkan negara ini mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata mendesak kerajaan mengambil langkah segera membendung jenayah itu di sekolah. – MalaysiaGazette
















