MELAKA – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mahu kerajaan memberi penjelasan segera terhadap dakwaan kes pelajar Tingkatan 3 dirogol bergilir-gilir senior calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kelas sekolah di Melaka, minggu lalu.
Ahli Parlimen Bersatu dari Putrajaya itu berkata, kes berkenaan amat serius dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib.
“Berita kejadian pelajar dirogol bergilir-gilir di dalam kelas di Melaka perlu penjelasan segera daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
“Ini perkara yang amat serius,” tulisnya menerusi status yang dimuat naik di Facebook rasminya pagi ini sambil menyertakan laporan ekslusif MalaysiaGazette hari ini.
Statusnya itu mendapat lebih 500 reaksi termasuk 286 komen dan 236 perkongsian setakat jam 10.50 pagi ini yang rata-rata mendesak kerajaan mengambil langkah segera membendung jenayah itu di sekolah
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan mangsa pelajar sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka trauma seumur hidup selepas dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas sambil kejadian dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.
Kejadian menimpa mangsa berusia 15 tahun terbongkar petang semalam selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video aib anak sulungnya itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa membuat laporan polis.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika pelajar itu berpatah balik ke kelasnya di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.
“Sebaik tiba di kelas, mangsa yang juga pengadu kes perasan terdapat dua pelajar lelaki senior berusia 17 tahun sedang menghendapnya dari celah pintu kelas.
“Bagaimanapun selepas mengambil barangnya dan ketika sedang menuruni tangga, tiba-tiba suspek pertama menggenggam kuat tangan mangsa, menutup mulut dan menolaknya masuk semula ke dalam kelas di tingkat tiga.
Seorang lagi rakannya pula menjaga di kawasan tangga sebelum dua lagi pelajar lelaki lain berusia 17 tahun masuk ke dalam kelas melihat suspek pertama membogelkan mangsa dan merogolnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, kejadian itu disaksikan kesemua empat suspek sebelum suspek kedua juga merogol pengadu manakala suspek ketiga bertindak merakam perbuatan aib itu menggunakan telefon milik suspek pertama.
Keempat- empat suspek yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan telah ditangkap semalam dan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan. – MalaysiaGazette.
Pelajar dirogol bergilir-gilir senior calon SPM dalam kelas, 4 direman
















