WASHINGTON – Presiden Donald Trump akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 100% ke atas barangan import dari China bermula bulan hadapan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump berkata, Amerika Syarikat (AS) juga akan mengenakan kawalan eksport terhadap perisian kritikal.
Dalam hantaran terdahulu pada hari Jumaat, beliau membalas tindakan Beijing minggu ini yang memperketat peraturan eksport bahan nadir bumi, dengan menuduh China “semakin bersikap bermusuhan” dan cuba “menawan dunia” melalui penguasaannya terhadap bahan tersebut.
Trump turut mengancam untuk menarik diri daripada mesyuarat dengan Presiden China, Xi Jinping.
Namun kemudian beliau menjelaskan mesyuarat itu tidak dibatalkan, tetapi beliau “tidak pasti sama ada ia akan berlangsung.”
“Saya akan berada di sana walau apa pun,” katanya kepada wartawan di White House.
Pasaran kewangan menjunam selepas kenyataan Trump, dengan indeks S&P 500 ditutup susut 2.7%, kejatuhan paling besar sejak April.
China menguasai pengeluaran bahan nadir bumi dan beberapa bahan utama lain yang penting dalam pembuatan kereta, telefon pintar dan pelbagai barangan lain.
Kali terakhir Beijing mengetatkan kawalan eksport selepas Trump menaikkan tarif ke atas barangan China awal tahun ini banyak syarikat AS yang bergantung pada bahan tersebut membantah keras.
Syarikat pengeluar kereta Ford terpaksa menghentikan pengeluaran buat sementara waktu.
Selain memperketatkan peraturan eksport bahan nadir bumi, China turut membuka siasatan monopoli terhadap syarikat teknologi AS, Qualcomm, yang boleh menangguhkan rancangannya untuk mengambil alih sebuah syarikat pembuat cip lain.
Walaupun Qualcomm berpangkalan di Amerika Syarikat, sebahagian besar perniagaannya tertumpu di China.
Beijing juga menyatakan ia akan mengenakan yuran pelabuhan baharu kepada kapal yang mempunyai kaitan dengan AS, termasuk kapal milik atau dikendalikan oleh syarikat-syarikat AS.
“Beberapa perkara yang sangat pelik sedang berlaku di China!” tulis Trump di media sosial pada hari Jumaat. “Mereka semakin bersikap bermusuhan”.
AS dan China kini berada dalam keadaan gencatan dagang yang rapuh sejak Mei lalu, apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik balik tarif berganda tiga digit ke atas barangan masing-masing yang hampir menghentikan perdagangan antara kedua-dua negara.
Langkah itu menyebabkan barangan China yang memasuki AS dikenakan tarif tambahan sebanyak 30% berbanding awal tahun, manakala barangan AS yang memasuki China pula dikenakan tarif baharu sebanyak 10%.
Sejak itu, pegawai dari kedua-dua negara telah mengadakan beberapa siri rundingan mengenai isu termasuk TikTok, pembelian hasil pertanian, perdagangan bahan nadir bumi dan teknologi maju seperti semikonduktor.
Kedua-dua pihak dijangka bertemu sekali lagi bulan ini dalam satu sidang kemuncak di Korea Selatan. – Agensi
















