Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menegaskan, sudah tiba masanya pihak berkenaan bersikap lebih terbuka dengan angka ‘kenakalan’ pelajar daripada terus menyembunyikan fakta sebenar.

Menerusi video dimuat naik di Facebook (FB) rasminya malam ini, beliau berkata, langkah itu boleh menjadi permulaan penting untuk membendung masalah disiplin daripada terus berleluasa.

Menurutnya, ia bukan dengan menyorok gejala sosial pelajar yang sebenarnya ketika ini di tahap yang sangat teruk.

“Kita perlu satu tindakan yang lebih drastik. Paling tidak, kita mulakan dengan pendedahan. Apakah maksud pendedahan? Kita kongsi cerita sebenar yang berlaku di sekolah-sekolah sekeliling kita baik rendah atau pun menengah.

“Tak perlu lagi rahsiakan angka-angka kenakalan luar biasa pelajar kita. Umumkan, sekolah ini ada kes apa. Kes bercumbu sesama jantina, berpelukan antara berlainan jantina, kes buli, pukul, bawa vape, semua ini perlu didedahkan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, selama ini, statistik dan maklumat berkaitan salah laku pelajar tidak dikongsi secara meluas.

“Selama ini angka-angka ni tak dihebahkan kepada ibu bapa. Ada ibu bapa yang tak tahu pun anaknya terlibat sebab belum ditangkap lagi. Ini boleh sedarkan mereka bahawa keadaannya tak seindah rupa.

“Bila angka-angka ini kita kongsikan, ibu bapa boleh peka. Yalah kalau takut sangat nak bagi kebenaran rotan, kononnya memalukan, cukuplah kita sebarkan angka-angka realiti menjadi beban kepada guru hari ini.

“Biar semua orang tahu sebenarnya kita menghadapi masalah sosial yang sangat teruk. Lepas itu kita akan tengok bagaimana respon masyarakat. Adakah masyarakat nak bersama kita, membawa perubahan atau untuk begini selama-lamanya,” tegasnya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak bersama-sama menyokong usaha memperbetulkan keadaan bukan sekadar menuding jari apabila sesuatu isu tular.

“Keputusan ada di tangan anda semua, kita boleh buat. Kami pembuat dasar, kami sudah bersuara tapi perlukan sokongan juga sebab nanti ada yang masuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

“Ada pula yang masuk surat khabar, sebab apa? Alasan nak menyalahkan orang lain. Tengok-tengokkanlah perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast