KUALA LUMPUR – Program Huanying Lai Malaysia! Discovery Familiarisation Trip hasil kerjasama strategik Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Pengembara dan Agensi Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) melabuhkan tirainya hari ini dengan majlis penghargaan dan makan malam di sini semalam.
Program tujuh hari yang berlangsung dari 6 hingga 12 Oktober itu menghimpunkan seramai 76 pempengaruh utama dari China termasuk daripada pemilik perniagaan, ejen pelancongan, pemimpin komuniti dan pempengaruh media sosial dari 13 wilayah di negara itu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang merasmikan program tersebut menyifatkan inisiatif itu bukti keutuhan hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak lebih lima dekad lalu.
“Pasaran pelancong China sangat kompetitif dan diminati secara global. Lawatan suai kenal seperti ini memperkukuh jaringan pelancongan kita dengan China membina keyakinan pelancong dan mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan para peserta kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mempromosikan Malaysia kepada masyarakat China sekali gus menyokong matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Presiden Bumitra Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Norudin pula berkata, pihaknya memastikan jadual lawatan disusun untuk menonjolkan keunikan budaya Malaysia yang mampu menarik minat pelancong dari China.
“Para peserta bukan sahaja melawat lokasi tarikan pelancong malah turut berinteraksi secara langsung dengan pemilik perniagaan tempatan dan individu yang memainkan peranan penting di tapak lawatan,” katanya.
Tambah beliau, fokus kepada rangkaian bekalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti tempat makan tempatan, pengangkutan dan tapak warisan, memberi impak ekonomi segera kepada ekosistem pelancongan negara.
Majlis penghargaan itu turut menyaksikan sesi rangkaian dan pertukaran maklumat antara peserta program dan 22 agensi pelancongan Bumitra Malaysia sekali gus membuka ruang kerjasama lebih meluas antara kedua-dua negara dalam sektor pelancongan.
Program berkenaan turut dilihat selari dengan kerangka Ekonomi Madani negara, yang menekankan pertumbuhan inklusif dan kemakmuran bersama khususnya bagi perusahaan tempatan dan komuniti setempat. – MalaysiaGazette
















