Mohd Ali melakukan simbolik memetik buah tin selepas merasmikan Ladang Buah Tin AKE Benefigs di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh, Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) melakar sejarah tersendiri apabila membuka ladang buah tin pertama di Melaka yang menggabungkan sektor pertanian moden dengan pelancongan berasaskan komuniti.

Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, kerjasama strategik dengan AKE Benefigs berkeluasan dua hektar sejak Mei lalu itu juga berjaya mewujudkan model pertanian berasaskan pendidikan (agro-pendidikan) yang mampan.

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan pertanian negeri, malah membuka peluang perniagaan dan pelancongan yang mampan untuk masyarakat tempatan.

“Ia seiring dengan hasrat DMDI untuk menjadikan Kampung Tersusun DMDI ini sebagai model pembangunan komuniti berteraskan Islam dan inovasi hijau,” katanya.

Mohd Ridhwan Mohd Ali

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Ladang Buah Tin AKE Benefigs di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Presiden DMDI.

Hadir sama Ketua Eksekutif AKE Groups, Datuk Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Hafidz Arifin.

Mengulas lanjut Mohd Ridhwan berkata, kerjasama ini juga menyokong agenda kebajikan yayasan melalui perkongsian hasil projek yang mana 10 peratus daripada keuntungan akan disalurkan kepada yayasan.

“Ini penting bagi melaksanakan aktiviti kebajikan serta pembangunan masyarakat yang telah lama menjadi teras perjuangan kami.

“Justeru, diharapkan projek perintis ini juga dapat menarik minat lebih ramai peladang Bumiputera,” tambahnya.

Sementara itu Mohamad Hafidz berkata, ladang itu urut berperanan sebagai tapak pembelajaran terbuka, membolehkan pelajar dan masyarakat memahami konsep pertanian moden berasaskan teknologi serta amalan mesra alam.

“Ladang yang menempatkan lebih 2,000 pokok buah tin daripada pelbagai varieti, termasuk jenis merah dari Jepun dan kuning dari Algeria, yang mampu menghasilkan 20 hingga 30 kilogram buah segar sehari.

“Dengan potensi iklim tropika Malaysia, buah tin adalah sumber kekayaan baharu negara malah melalui amalan pertanian organik dan sistematik, kita percaya ia boleh menjadi salah satu komoditi berdaya saing di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Tambahnya ketika ini, Malaysia mengimport kira-kira 600 tan buah tin setahun dari negara seperti Turkiye, Afrika Selatan dan Peru.

“Jadi, inisiatif ini dilihat mampu mengurangkan kebergantungan import selain memperkukuh kedudukan Melaka sebagai negeri perintis tanaman buah tin di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast