JOHOR BAHRU – Skuad hoki negara, Young Tigers menjangkakan perlawanan sengit pada aksi ketiga Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 dengan pasukan Great Britain esok.
Jurulatih Malaysia, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, anak buahnya sudah bersedia berdepan pasukan pelawat tersebut di Stadium Hoki Johor di sini.
“Great Britain dijangka memberi tentangan sengit dalam usaha meraih sebarang mata pada pertembungan kedua-dua pasukan.
“Tahap permainan mereka dilihat tidak jauh berbeza dengan pasukan lain seperti New Zealand.
“Britain mungkin lebih baik sedikit daripada New Zealand, tapi saya rasa dalam kejohanan ini standard mereka lebih kurang sama.
“Kita akan tengok apa kelebihan dan kelemahan mereka, dan dari situ kita akan susun taktikal permainan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, kemenangan ke atas Great Britain amat penting bagi memastikan skuad kendaliannya itu kekal dalam kelompok podium kejohanan berprestij itu.
“Kalau kita menang lawan Britain, Insya-Allah kita masih dalam kedudukan podium. Jadi yang penting sekarang, kita kena menang perlawanan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Saiful Zaini turut memuji semangat dan prestasi semasa pemain muda negara yang dilihat semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Bagusnya budak-budak kita sedang berada dalam prestasi baik untuk kejohanan ini. Mereka boleh bermain dengan baik, kecuali pada perlawanan pertama.
“Oleh itu, harapan kita agar mereka dapat meneruskan momentum ini ketika menentang Great Britain,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















