Sebahagian motosikal yang diperiksa dalam operasi it.

ALOR GAJAH – Tindakan seorang pekerja kontrak menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di Jalan IKS Pulau Sebang, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis.

Lelaki berusia antara 26 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.45 malam selepas pasukan operasi mengesan kesalahan itu.

“Suspek didapati menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘superman’ serta zigzag yang bukan sahaja membahayakan diri, malah turut mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

“Susulan itu, tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed

Tambahnya, dalam operasi bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam itu, polis turut menyita 14 motosikal dan mengeluarkan 172 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Sepanjang lapan jam operasi, sebanyak 54 kenderaan diperiksa membabitkan 50 motosikal dan empat kereta dengan keseluruhan 60 individu diperiksa.

“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu (20 kes), lesen kenderaan tamat tempoh (16), tiada perlindungan insurans (11), ubah suai ekzos (17 kes), dan tiada nombor pendaftaran sebanyak 19 kes,” katanya.

Tambahnya, polis turut mengesan kesalahan lain seperti nombor pendaftaran fancy, ubah suai struktur dan lampu, serta penunggang bawah umur tanpa topi keledar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast