MELAKA – Tragedi kehilangan nyawa pelajar dan menjadi mangsa jenayah kebelakangan ini harus membuka mata banyak pihak mengenai betapa seriusnya isu kesihatan mental dalam kalangan remaja hari ini.
Prihatin dengan perkembangan itu, Indian Crime Prevention Society (ICPS) tampil menawarkan dana bagi melaksanakan program sokongan kesihatan mental khusus untuk pelajar sekolah di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Ignatius Lourdsamy berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan serta agensi berkaitan bagi memastikan pelajar memperoleh akses kepada penjagaan kesihatan mental yang diperlukan.
“Kita sering beri tumpuan kepada kejayaan akademik, tetapi jarang mengambil berat tentang apa yang berlaku dalam fikiran anak-anak kita.
“Sebab itu, ICPS bersedia berganding bahu dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan pelajar mendapat akses kepada perkhidmatan psikologi dan kaunseling profesional di sekolah,” katanya hari ini.
Menurut Ignatius, kekurangan dana dan tenaga pakar sering menjadi kekangan utama bagi memperluaskan bantuan kesihatan mental, terutama di kawasan luar bandar.
“ICPS bersedia menyalurkan dana serta membantu menempatkan lebih ramai pakar psikologi klinikal untuk turun ke sekolah-sekolah, malah kita mahu setiap pelajar tanpa mengira latar belakang tidak merasa mereka terpinggir,” katanya.
Jelasnya, kejadian tikaman maut pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Selangor semalam dan kes rogol beramai-ramai pelajar berusia 15 tahun di Melaka pada 2 Oktober lalu harus dijadikan peringatan.
“Ini menunjukkan tekanan emosi yang tidak ditangani boleh membawa kepada tragedi dan pengesanan awal tanda-tanda tekanan psikologi penting untuk mencegah kejadian seumpama itu berulang.
“Minda yang sihat bukan sahaja penting untuk kejayaan akademik, tetapi juga berperanan besar dalam membentuk ketahanan emosi, sahsiah serta daya kreativiti pelajar,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















