Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan dikenakan tindakan sekiranya gagal memastikan penyedia perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi pada tahap ketersediaan yang telah ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap MAHB walaupun syarikat itu merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Walaupun MAHB ialah syarikat berkaitan kerajaan ia tetap tertakluk kepada peraturan pelesenan kami.

“Kami (Kementerian Pengangkutan) boleh mengambil tindakan termasuk mengenakan denda sekiranya MAHB gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada penumpang.” katanya dalam soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN–Setiu) yang meminta penjelasan mengenai langkah akauntabiliti yang dikenakan terhadap kontraktor dan pengurusan lapangan terbang berikutan gangguan berulang sistem aerotrain KLIA, serta sama ada audit forensik telah dijalankan bagi mengenal pasti kelemahan asas.

Mengulas lanjut, Loke menjelaskan, projek aerotrain dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan di bawah kementerian pengangkutan.

“Terdapat sedikit salah faham, projek aerotrain ini tidak dibiayai oleh kerajaan dan keseluruhan kosnya ditanggung oleh MAHB sebagai pengendali lapangan terbang di bawah konsesinya.

“Tiada satu sen pun datang daripada peruntukan kementerian pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata, sejak operasi disambung semula tiga bulan lalu, sistem aerotrain telah berkhidmat kepada kira-kira lima juta penumpang dengan mengekalkan kadar ketersediaan operasi sebanyak 99.2 peratus.

“Namun begitu walaupun satu gangguan sekali pun adalah tidak boleh diterima. MAHB dan kontraktornya mesti berusaha memastikan tiada sebarang gangguan teknikal,” katanya.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penyedia perkhidmatan aerotrain di KLIA boleh dikenakan penalti sehingga RM190,000 sebulan sekiranya gagal memastikan tren itu beroperasi pada tahap ketersediaan ditetapkan.

Beliau berkata, pihak pengeluar asal peralatan (OEM) bertanggungjawab sepenuhnya memastikan aerotrain berfungsi pada tahap maksimum iaitu 100 peratus bagi satu tren, dan 99.5 peratus apabila dua tren beroperasi serentak.

Beliau menjelaskan, projek aerotrain itu siap sepenuhnya pada 30 Jun lalu dan mula beroperasi pada 1 Julai dan kini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun.

Menurutnya, antara 2 Julai dan 30 September lalu, sebanyak 19 insiden kecil direkodkan yang mana kebanyakannya melibatkan sistem semboyan termasuk kes penumpang yang cuba memaksa pintu tren dibuka secara manual. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast