Gambar yang tular menunjukkan Noryani meneruskan rutin kerja seperti biasa sejak dua bulan lalu membawa anak sulung Muhammad Rayyan Iskandar Muhammad Haidar, 5, dan Muhammad Rayyan Rayfal, 2, di belakang dan Muhammad Rayyan Maleeq, 10 bulan di depan.

MELAKA – “Saya bukanlah mahu menolak rezeki, tapi biarlah orang lain pula yang lebih susah menerima bantuan kerana saya yakin ada yang hidup mereka lebih sukar dari kami.

“Apa sumbangan yang saya, suami dan tiga anak dapat selama dua hari sudah lebih dari cukup. Saya tak mahu dilabel tamak, apatah lagi bergantung selamanya pada simpati orang,”.

Itu luahan penuh syukur Noryani Syakira Yaakob, 23, penghantar makanan yang sebelum ini tular kerana membonceng tiga anak kecil mencari rezeki.

Wanita itu berkata, dia berharap orang ramai dapat menghentikan sumbangan melalui nombor akaun banknya selepas menerima pelbagai bantuan sejak kisahnya tersebar kelmarin.

Menurut ibu muda itu, dia amat tersentuh dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan hingga keluarganya kini mampu bernafas lega.

“Saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua rakyat Malaysia yang bantu kami lima beranak.

“Sungguh, saya tak sangka begitu ramai yang sudi hulur tangan walaupun tak pernah kenal saya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, permintaannya itu juga kerana tidak mahu orang melihatnya mahu mengambil kesempatan atas penularan kisah yang tidak pernah diduga itu.

“Saya percaya tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima dan hasil sumbangan orang ramai itu akan digunakan sebaiknya untuk memulakan perniagaan kecil.

“Insya-Allah saya nak buka gerai sendiri. Kalau rezeki bertambah, saya nak jadi pembayar zakat pula, bukan lagi penerima bantuan. Itulah azam saya sekarang,” katanya sebak.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan kesungguhan Yani mencari rezeki sebagai penghantar makanan p-hailing sambil membonceng tiga anak lelakinya itu yang tular.

Kejadian itu yang dirakamkan pengguna jalan raya berlalu dua minggu lalu ketika dia dalam perjalanan menghantar pesanan nasi goreng dari Bukit Katil ke Hospital Melaka dengan upah RM5 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast