VP Shanmugam

MELAKA – Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka sedang memberi tumpuan menyelesaikan beberapa isu dalaman yang dihadapi beberapa persatuan sukan negeri sebelum proses senarai pendek atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) 2026 dijalankan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, ia susulan ada beberapa persatuan mempunyai masalah dalaman termasuk perbezaan pendapat antara ahli dan jurulatih, yang sedikit sebanyak menjejaskan prestasi atlet.

“Masalahnya bukan soal kewangan, tapi lebih kepada masalah dalaman dalam persatuan itu sendiri apabila ada pasukan A dan pasukan B yang masing-masing nak calonkan wakil atau jurulatih mereka sendiri.

“Namun kemelut ini tidaklah sampai tahap menjejaskan sasaran pungutan pingat, tapi ia boleh memberi kesan terhadap konsistensi dan prestasi atlet di peringkat latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Deepavali di rumah keluarganya di Batu Berendam di sini hari ini yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mohd Ali (tengah) menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Shanmugam di rumah keluarganya di Batu Berendam, Melaka hari ini.

Dalam perkembangan sama, Shanmugam berkata, MSN negeri juga sedang memperkemas struktur kejurulatihan dengan memperkenalkan jurulatih-jurulatih muda bagi memastikan kaedah latihan lebih segar dan selari dengan perkembangan semasa sukan.

“Kita masukkan jurulatih muda sebab ramai jurulatih lama masih guna cara lama sedangkan untuk acara terkini, mereka perlu ‘updated’ sebab itu langkah ini penting untuk peremajaan latihan dan semangat baharu dalam pasukan.

“Langkah-langkah pembetulan itu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi memastikan persiapan kontinjen Melaka ke Sukma 2026 berjalan lancar tanpa sebarang isu dalaman persatuan yang boleh mengganggu fokus atlet,” tambahnya.

Mengulas lanjut persiapan sukan berprestij dwitahunan itu, Shanmugam berkata, MSN sudah pun menyiapkan long list atlet dan jurulatih sepenuh masa serta separuh masa.

“Kita jangkakan akan menghantar sekitar 600 atlet ke Sukma 2026, sedikit meningkat berbanding 500 atlet tahun lalu namun mengekalkan sasaran 20 pingat sama seperti edisi terdahulu bagi memastikan ia realistik dengan kemampuan semasa.

“Empat sukan utama yang menjadi tumpuan kutipan pingat (emas) ialah wushu, muay thai, olahraga dan renang, manakala sukan bola sepak serta hoki masih diberi perhatian.

“Ia susulan pencapaian cemerlang sebagai Naib Johan Kebangsaan dan mara ke separuh akhir dalam edisi lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast