CEO STB, Encik Julinus Jeffery Jimit (tengah) bersama Presiden SSD, Encik Liau Kee Siong dan ahli-ahli pekak semasa lawatan pengenalan bersama LPS dan STGA ke Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu pada bulan April.

KUALA LUMPUR – Seramai 37 kakitangan Lembaga Pelancongan Sabah (LPS) dilatih untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat Malaysia melalui program khas Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) yang disesuaikan dengan keperluan sektor pelancongan.

LPS dalam kenyataan berkata, langkah itu penting dalam memastikan semua pihak termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran menikmati keunikan serta tarikan negari Sabah bersempena Hari Pekak Sedunia pada 28 September lalu.

“Sebagai permulaan untuk mencapai misi berkenaan, LPS telah memulakan beberapa inisiatif ke arah keterangkuman untuk menjadikan ia sebagai sebuah organisasi yang mesra komuniti kurang upaya pendengaran.

“Pada awal tahun ini, LPS telah bekerjasama dengan SSD dan Politeknik Kota Kinabalu untuk menganjurkan acara inklusif mesra pekak melalui Lampoopalooza, iaitu acara tahunan muzik, cahaya dan seni yang bertujuan untuk memperkasakan komuniti dan mempromosikan kesedaran positif.

“Acara ini meraikan kepelbagaian dan memupuk suasana inklusif, dengan harapan untuk mencetuskan lebih banyak acara inklusif di Sabah serta memperkasa komuniti kurang upaya pendengaran dengan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya keterangkuman,” katanya dalam kenyataan.

Kakitangan STB bersama Encik Choong (seorang individu pekak) di Matta Fair Johor Bahru baru-baru ini.

Pada acara itu, kakitangan LPS dan ahli komuniti kurang upaya pendengaran bergabung tenaga untuk membuat persembahan pembukaan dengan menggunakan bahasa isyarat.

Konsert itu juga disertai dengan jurubahasa isyarat, bagi membolehkan pengunjung yang mempunyai kelainan upaya bersama menikmati acara tersebut dengan komuniti Kota Kinabalu yang hadir.

“Acara tersebut telah mewujudkan semangat tinggi sekali gus memberikan pengalaman yang baharu kepada tetamu, termasuk pelawat antarabangsa.

“Selain Lampoopalooza, LPS juga melaksanakan usaha dalaman bagi meningkatkan kesedaran dalam kakitangannya dengan menganjurkan dua siri kursus asas bahasa isyarat yang dikendalikan oleh jurulatih dari SSD.

“Jelas sekali, penyertaan LPS dalam Matta Fair Kuala Lumpur dan Johor Bahru baru-baru ini telah menghubungkan pasukan tersebut dengan pengunjung pekak yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sabah,” ujarnya.

LPS, SSD dan pelajar Politeknik Kota Kinabalu bergabung tenaga untuk persembahan khas pembukaan Lampoopalooza 2025.

Tambah LPS, usaha dalam mempromosikan keterangkuman komuniti kurang upaya pendengaran dalam pavilion pelancongan Sabah dapat membuka jalan ke arah masa depan pelancongan yang lebih inklusif.

Selain itu, STB turut mengadakan lawatan pengenalan pelancongan khas untuk orang pekak dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA) yang melibatkan seramai 30 ahli dari SSD menyertai lawatan bandar separuh hari dan melawat Tapak Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu.

Selaras dengan visi ASEAN 2025 ke arah komuniti yang berorientasikan dan berpusatkan rakyat, STB juga telah memulakan langkah ke arah mewujudkan pengalaman pelancongan yang mesra dan memberdayakan semua pelawat, termasuk komuniti pekak dan kurang pendengaran.

“Dengan menerapkan elemen keterangkuman dalam amalan terasnya, daripada perancangan acara dan latihan staf hingga kepada kerjasama komuniti, kami sedang mengorak langkah ke arah masa depan di mana Sabah.

“Ia bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan utama, tetapi juga memperkukuh kedudukan sebagai model pelancongan inklusif dan mudah diakses di rantau ini dan seterusnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast