Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Pihak yang ingin mengadakan protes ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 perlu berada di luar ‘radius keselamatan’ kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 10,400 anggota polis ditugaskan semasa sidang kemuncak tersebut dan latihan persediaan termasuk penutupan jalan sementara telah dimulakan sejak 16 Oktober lalu.

“Walaupun kita mengiktiraf adanya pandangan berbeza dan penglibatan aktif dalam kalangan masyarakat sivil, saya ingin menegaskan bahawa mereka bebas untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun.

“Namun, kita menggesa mereka untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan terutamanya di lokasi yang melibatkan kehadiran tetamu asing,” katanya pada sidang media di pusat media Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, radius keselamatan itu merangkumi lokasi Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan lebih 20 buah hotel yang menjadi tempat penginapan delegasi.

Berkenaan pengendalian risiko atau ancaman, beliau berkata, tumpuan keselamatan akan diberikan kepada ketua-ketua negara dan individu yang mempunyai profil risiko tinggi.

Jelasnya, ia bergantung kepada latar belakang negara dan isu geopolitik semasa.

Beliau memaklumkan, seramai 23 ketua kerajaan akan menghadiri sidang kemuncak tersebut dan akan tiba melalui Lapangan Terbang Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita telah mengenal pasti semua laluan yang akan digunakan dan penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat,” tambahnya.

Antara yang dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang dan wakil dari Rusia.

Gabungan masyarakat sivil dan kumpulan politik di Malaysia merancang untuk mengadakan perhimpunan protes bertajuk “Trump, Anda Tidak Dialu-alukan di Malaysia” pada Ahad ini di Ampang Park, Kuala Lumpur.

Beberapa aktivis dan kumpulan pro-Palestin sebelum ini telah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membatalkan jemputan kepada Trump disebabkan sokongannya yang kuat terhadap Israel.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober merupakan kemuncak kepada Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025, dengan tema “Inklusiviti dan Kelestarian”.

Kira-kira 12,000 delegasi dijangka menghadiri sidang kemuncak tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast