MELAKA – Kegembiraan sebuah keluarga meraikan Deepavali bertukar cemas apabila lantai rumah warisan berusia 100 tahun didiami di Kampung Chetti, Gajah Berang, di sini, tiba-tiba roboh.
Kejadian berlaku ketika sanak saudara sedang berkumpul di rumah dalam kawasan tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu malam Ahad lalu.
Penghuni generasi ketiga rumah, S. Divya Darshini, 24, berkata kejadian berlaku kira-kira 8.45 malam ketika lebih 25 ahli keluarga hadir meraikan perayaan itu di beranda untuk melihat kanak-kanak bermain bunga api.
“Masa tu semua tengah seronok bergambar sebelum tiba-tiba kami dengar bunyi kuat diikuti lantai kayu mendap dan roboh menyebabkan semua terjatuh dan menjerit, namun mujurlah tiada kecederaan serius.
“Kami betul-betul terkejut, tak sangka kegembiraan meraikan Deepavali jadi begini,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Divya berkata, struktur lantai runtuh sepenuhnya mungkin disebabkan tidak mampu menampung beban tetamu yang ramai dalam satu masa, malah beberapa bahagian tiang beranda turut retak.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 9.31 malam bagi mendapatkan pihak berwajib menilai tahap keselamatan rumah.
Ini memandangkan kediaman itu terletak di Kampung Chetti, iaitu kawasan tapak UNESCO.
“Rumah warisan ini berusia 100 tahun ini bukan sekadar tempat tinggal, tapi warisan keluarga dan sebahagian daripada sejarah Kampung Chetti.
“Jadi kami sangat berharap pihak berkuasa dapat datang segera buat penilaian dan bantu kami baiki sebelum apa-apa yang lebih buruk berlaku,” ujarnya dengan nada sebak. – MalaysiaGazette
















