Tiga sahabat masing-masing didenda antara RM4,000 dan RM8,500 serta hukuman penjara 24 dan 30 bulan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini atas kesalahan liwat dan cubaan melakukan liwat April lalu.

MELAKA – Tiga sahabat masing-masing didenda antara RM4,000 dan RM8,500 serta hukuman penjara 24 dan 30 bulan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini atas kesalahan liwat dan cubaan melakukan liwat April lalu.

Tertuduh Mohammad Fahmi Kamarudin, 26, Muhammad Nabil Junaidi, 24, dan Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan di hadapan Hakim Kanan Syarie, Abu Bakar Mohd Daud.

Bagaimanapun, hakim pada penghakimannya menawarkan hukuman pemenjaraan 24 bulan dan 30 bulan bagi dua pertuduhan terhadap Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil dan hukuman diarah berjalan serentak bermula hari ini.

Hakim Abu Bakar berkata, setelah meneliti sifat ketiga-tiga tertuduh mahkamah berpendapat hukuman pemenjaraan adalah tidak sesuai dan menawarkan peruntukan di bawah Seksyen 5(1) dan 5(1A) Akta kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954.

Seksyen itu adalah bagi menggantikan hukuman penjara kepada Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang memerlukan mereka menjalani kerja-kerja wajib sekurang-kurangnya empat jam sehari sepanjang tempoh itu.

Mahkamah kemudian menawarkan PKW selama 10 bulan masing-masing kepada Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil sekiranya dipersetujui tertuduh bermula hari ini.

Hukuman pemenjaraan 24 bulan terhadap Meor Aliff Isqandar pula ditawarkan dengan PKW bagi tempoh lapan bulan sebelum ketiga-tiga tertuduh menerima tawaran menjalani hukuman PKW.

Difahamkan, ini adalah kes pengakuan liwat pertama direkodkan di Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Bagaimanapun Abu Bakar berkata, sekiranya ketiga-tiga tertuduh gagal mematuhi arahan PKW berkenaan, hukuman asal pemenjaraan terhadap mereka boleh dikembalikan.

Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Negeri Melaka, Radzwan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama terhadap Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil, mereka didapati dengan sengaja melakukan liwat di Kampung Gangsa, Durian Tunggal dalam Daerah Melaka Tengah di sini 11 April lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM 5,000 atau dipenjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi satu lagi pertuduhan berasingan, pasangan itu bersama Meor Aliff Isqandar turut mengaku bersalah atas pertuduhan bersama-sama dan sengaja cuba melakukan liwat dengan cara meraba-raba serta melakukan oral seks secara bertiga.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah rumah yang beralamat di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor, dalam Daerah Melaka Tengah, di sini pada 27 Julai 2025.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 57 Enakmen sama yang membawa hukuman sama.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM4,500 dan penjara 30 bulan bagi pertuduhan pertama terhadap Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil serta denda RM4,000 dan penjara 24 bulan atas pertuduhan kedua terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Kesemua teruduh juga diarah menjalani tambahan hukuman penjara selama enam bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast