KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,622 unit peranti dan cecair rokok elektronik (vape) serta 733 unit aksesori vape pelbagai jenis bernilai kira-kira RM272,000 dirampas dalam Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan di dua premis sekitar Tanah Merah, Kelantan, semalam.
Operasi dijalankan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) antara jam 9.50 hingga 11 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan penjualan vape tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan.
Pemangku Komander Briged Tenggara, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua premis yang diserbu tidak memiliki sebarang dokumen perniagaan sah daripada PBT.
“Dalam operasi tersebut, tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 23 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis turut diperiksa.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai peranti, cecair dan aksesori vape yang disyaki dijual tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak PBT telah mengeluarkan kompaun dan notis sitaan terhadap kesemua barangan terbabit, sebelum diserahkan kepada Majlis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2019,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















