Foto Spartan Race Malaysia 2025.

KUALA LUMPUR – Acara sukan lasak berhalangan, Spartan Race Malaysia 2025 yang kembali berlangsung di Gamuda Cove baru-baru ini diakui merupakan antara acara paling mencabar di rantau ini.

Ini kerana terdapat dua kategori utama dalam siri spartan iaitu larian dan cabaran merangkumi tiga jarak iaitu Sprint sejauh lima kilometer (km) dengan 20 halangan, Super (10km) dengan 25 halangan) dan Beast (21KM dengan 30 halangan).

Namun begitu, kategori yang benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental peserta adalah Spartan Extreme Endurance atau lebih dikenali sebagai Hurricane Heat (HH).

Bagi duta jenama Spartan Race Malaysia, Dr Suffian Sani Sayuti, dia berjaya menamatkan kesemua acara termasuk Hurricane Heat 4 Hours (HH4H) yang menjadikan jumlah lariannya sebanyak 36km dan 75 halangan.

Foto Spartan Race Malaysia 2025.

“Saya memilih untuk menyertai kategori Hurricane Heat kerana ia bukan sekadar pertandingan tetapi ujian kepimpinan, ketahanan minda, serta kemampuan bekerja dalam tekanan ekstrem.

“Setiap detik dalam acara ini menuntut disiplin, strategi dan semangat sepasukan yang tinggi.

“Cabaran utama menyertai spartan race ini adalah memastikan badan dan minda berada dalam keadaan optimum menjelang perlumbaan di mana keseronokan pula datang daripada semangat setiakawan apabila semua peserta bekerjasama menamatkan setiap halangan dengan jayanya,” katanya yang juga Pengasas MegaKlinik Dr Suffian (MKDS).

Lebih 2,000 peserta dari 30 negara termasuk Iceland, Austria, Sweden dan Argentina menyertai Spartan Malaysia 2025 yang berlangsung selama dua hari itu.

Penganjuran kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kali dikendalikan di bawah pengurusan bersama RUNRIO Thailand dan SCORE Sports Management, selaku pemegang lesen rasmi Spartan Race bagi Thailand, Malaysia dan Singapura untuk tempoh 2025 hingga 2027.

Kerjasama itu membuka era baharu penganjuran Spartan di Malaysia, menggabungkan pengalaman serantau dan kepakaran tempatan bagi menjadikan perlumbaan kali ini antara yang paling tersusun dan meriah.

Mengulas lanjut, Suffian menambah, minatnya terhadap Spartan Race bermula sejak 2019 ketika  berumur 19 tahun dengan berat badan 93 kilogram.

Katanya, walaupun aktif bersenam ketika itu, penurunan berat badan tidak berlaku seperti dijangka.

“Dari situ, saya mula memahami bahawa obesiti bukan sekadar isu kalori dan senaman, tetapi turut melibatkan faktor hormon, genetik, metabolisme dan corak kehidupan keseluruhan.

“Kesedaran itu menjadi titik tolak kepada penubuhan MKSD di mana kami membantu pesakit menurunkan berat badan dan mengoptimumkan kesihatan mereka secara saintifik serta berkesan,” katanya.

Foto Spartan Race Malaysia 2025.

Suffian turut menasihati peserta baharu agar melakukan persediaan minimum adalah tiga hingga empat bulan manakala bagi yang sudah aktif bersenam, tempoh enam minggu sudah mencukupi.

“Program latihan merangkumi kardiovaskular, kekuatan otot, dan fleksibiliti, disertai pengurusan nutrisi dan rehat yang optimum.

“Saya sendiri menggabungkan latihan ini dengan pemantauan kesihatan profesional di MKDS memastikan tahap metabolik dan fisiologi sentiasa dioptimumkan walaupun sibuk dengan kerjaya dan perniagaan.

“Pada kejohanan tahun ini, MKDS turut menawarkan diskaun 50 peratus kepada peserta Hurricane Heat sebagai satu usaha pihaknyauntuk menggalakkan lebih ramai individu membina ketahanan mental dan fizikal yang seimbang seterusnya memperkukuh jati diri dan emosi,” katanya yang berusia 35 tahun.

Suffian kini dalam fasa akhir persiapan untuk mewakili Malaysia ke Spartan Extreme Endurance: AGOGE 300, yang akan berlangsung di Sparti, Greece pada 31 Oktober ini.

Acara itu melibatkan perjalanan sejauh 115 kilometer merentasi kawasan bersejarah Sparta bersama 300 peserta dari seluruh dunia. – MalaysiaGazette

Dr Suffian Sani Hayati. Foto Spartan Race Malaysia 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast