Aznan dan Hazlina (tengah) menyaksikan penyerahan heran gaji premium dalam Majlis Perasmian JTDC Mega Kerjaya My Future Jobs X PIS X MBPG di UTC Pasir Gudang, hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor setuju cadangan hukuman rotan dikembalikan di sekolah bagi membendung salah laku dan meningkarkan disiplin para pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, namun hukuman berkenaan perlu berdasarkan garis panduan yang betul mengikut Kementerian Pendidikan (KKM).

“Kita bersetuju namun dalam masa yang sama, kita pun tidak bergerak secara sendirian. Kerajaan Johor juga telah menyusun beberapa strategi untuk mengelakkan daripada kes-kes (jenayah di sekolah) yang semakin menular ini.

“Satu jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan kerajaan Johor bagi membanteras kes-kes salah laku dan jenayah yang berlaku di semua sekolah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian JTDC Mega Kerjaya My Future Jobs X PIS X MBPG di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil.

Aznan berkata, jawatankuasa itu menghimpunkan pelbagai jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Jelasnya, ini bagi memperkukuh tindakan terhadap kes disiplin serta jenayah dalam kalangan pelajar.

“Selepas itu, kita akan adakan program-program kaunseling yang mana di peringkat kerajaan negeri, pegawai kerajaan negeri akan pergi ke sekolah untuk memberi taklimat.

“Langkah ini untuk memberitahu apa kesan kalau berlakunya seperti ini (kes-kes jenayah), jadi program-program seperti ini akan berterusan diadakan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, lebih 50 majikan daripada pelbagai sektor turut serta menawarkan 4,512 kekosongan jawatan dengan 40 peratus daripadanya menyediakan gaji premium melebihi RM3,000 sebulan.

Tambahnya, geran sebanyak RM1.5 juta turut diserahkan kepada empat institusi menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) termasuk Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat bagi memartabatkan pembangunan modal insan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast