Gambar hiasan

KUALA LUMPUR -Kerja-kerja baik pulih sistem semboyan di Laluan Putrajaya masih giat dijalankan susulan gangguan yang berlaku sejak semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd berkata, hasil siasatan pasukan teknikal Rapid Rail di lokasi malam tadi mendapati terdapat lebih banyak kabel gentian optik yang dipotong, dipercayai akibat aktiviti kecurian.

Kejadian itu memerlukan proses pembaikan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil dan selamat.

“Berikutan itu, tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral dipandu secara manual, menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di setiap stesen. Kekerapan tren dijangka setiap 20 hingga 30 minit,” kata Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma disediakan dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral. Kekerapan bas dijangka setiap 15-20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Penumpang yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen atau polis bantuan yang berada di stesen.

Penumpang dinasihatkan untuk merujuk pada laman media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.

Penumpang juga disaran merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan alternatif pengangkutan lain bagi mengelakkan kelewatan.

“Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran dan kerjasama daripada semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Rapid Rail memaklumkan sistem semboyan MRT Laluan Putrajaya mengalami gangguan berpunca daripada kecurian kabel berhampiran Stesen Kuchai. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

MRT laluan Putrajaya alami gangguan, kerja baik pulih dijalankan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast