JASIN – Seorang pekerja syarikat kontraktor panel Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Empangan Jus, Batang Melaka, sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at berkata, mangsa lelaki berusia 27 tahun itu ditemukan lengkap berpakaian pukul 8.25 pagi tadi.

“Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemukan pada 8.25 pagi tadi kira-kira 900 meter dari lokasi penemuan barangan peribadinya sebelum ini selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Mayat kemudian dibawa oleh pihak polis untuk proses pengecaman keluarga sebelum operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pukul 2.57 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa sebelum itu dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam air ketika melakukan kerja penyelenggaraan rutin di kawasan empangan berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam pada 25 Oktober lalu.
“Operasi SAR dijalankan selama empat hari melibatkan pelbagai agensi selepas penilaian awal mendapati terdapat seorang mangsa hilang dengan penemuan barangan peribadi di tepi jambatan empangan.

“Pencarian diperluas dengan liputan 100 meter persegi di bawah air dan keseluruhan kawasan empangan termasuk di permukaan dan kaedah Underwater Mapping serta Arch Pattern di dasar empangan sedalam 10 meter,” katanya.
Operasi melibatkan 44 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air JBPM Melaka selain pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Badan Kawal Selia Air dan SAMB. – MalaysiaGazette
















