KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin merupakan sasaran utama lembaga disiplin parti itu.

Demikian dedah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kini digantung daripada parti Bersatu.

Jelasnya, tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpin dan ketua-ketua bahagian termasuk dirinya hanyalah sebahagian daripada kesan sampingan sahaja daripada tujuan utama.

“Saya nak jelaskan di sini sasaran utama Lembaga Disiplin, mereka ingin bertanya apa peranan Ketua Pembangkang?

“Sebenarnya mereka mahu tindakan dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, sasaran utama sebenarnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Sebab itulah kami yang dikenakan tindakan disiplin ini hanyalah kesan sampingan (atau mangsa keadaan),” katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu beliau mempersoalkan tindakan partinya yang sehingga kini gagal melengkapkan keanggotaan Lembaga Rayuan untuk menyelesaikan rayuan yang dikemukakannya dan beberapa ahli dikenakan tindakan.

“Selagi mana Lembaga Rayuan tidak bersidang, selagi itulah keputusan tidak dapat dimuktamadkan berkenaan kes-kes yang kami hadapi. Kalau dilihat apa yang berlaku lagi lambat diselesaikan, perihal rayuan kami ia satu kezaliman kepada kami sebab rayuan tidak boleh diproses.

“Lagi lambat Lembaga Rayuan lantik dua orang lagi, selagi itulah kes kami tidak akan selesai dan tidak akan dinoktahkan.

“Kami nak tanya kepada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adakah ini sengaja dibuat supaya kami tergantung atau dibiar begitu?” soal beliau.

Kecewa dengan tindakan berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau tetap bertindak berlandaskan perlembagaan parti dengan mengemukakan rayuan sebelum ini selepas digantung.

Sebagai rekod, 14 Oktober yang lalu beliau digantung Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Fayhsal selama satu penggal serta memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, bersama empat ketua bahagian.

Tindakan itu susulan daripada lembaga berkenaan mendakwa kesemua yang dikenakan tindakan didapati bersalah melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Bersatu.

Bagaimanapun parti itu tidak menjelaskan secara jelas sebab tindakan berkenaan,
namun difahamkan berhubung isu 120 akuan bersumpah (SD) untuk mendesak Muhyiddin menyerahkan kepimpinan parti kepada Hamzah -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast