KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru agar Rang Undang-Undang Rang Undang-Undang Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini diluluskan tanpa penangguhan.
Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, MTUC juga menggesa agar kerajaan menetapkan tarikh kuat kuasa rasmi dan mekanisme pendaftaran mudah, bagi memastikan tiada seorang pun pekerja yang layak akan tercicir.
Tambahnya, isu-isu birokrasi berhubung skim tersebut mestilah diminimumkan dan proses tuntutan perlu telus, cepat serta berpaksikan kepentingan pekerja.
MTUC juga menurut beliau meminta kerajaan mengiktiraf SKBBK sebagai hak asas pekerja, bukan sekadar pilihan atau manfaat tambahan.
“Sesungguhnya, pembentangan SKBBK ini adalah hasil perjuangan panjang MTUC kesatuan sekerja sejak 10 tahun yang lalu.
“Ini juga menunjukkan bahawa tuntutan-tuntutan yang dibuat secara kolektif dan bersama di dalam kesatuan mendapat perhatian sewajarnya di pihak kerajaan, khususnya oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bacaan pertama RUU pindaan akta tersebut membuktikan KESUMA mendengar keluhan dan suara pekerja serta menunjukkan komitmen terhadap sistem perlindungan sosial yang lebih adil dan menyeluruh untuk keluarga kaum pekerja.
Menurut beliau, MTUC juga bersetuju untuk diadakan perbincangan bagi perlaksanaan dan mekanisma yang terbaik bagi menentukan caruman selepas mengambil kira kepentingan bersama Perkeso dan Pekerja agar perlaksanaan ini tidak menekan pendapatan pekerja.
MTUC turut komited untuk terus bekerjasama dengan KESUMA, PERKESO dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pekerja di Malaysia menerima perlindungan 24 jam; di dalam dan di luar waktu pekerjaan.
Terdahulu, KESUMA memaklumkan, bacaan pertama Rang Undang-Undang bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menterinya, Steven Sim.
Katanya, menerusi pindaan Akta 4, sejumlah 10 juta pekerja dijangka boleh menerima manfaat sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu kerja di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.
Tambahnya, pekerja formal akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan. -MalaysiaGazette
















