BUKIT MERTAJAM – Reman ke atas suspek utama warga Nepal dalam kes pembunuhan tragis dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini, pada 18 Oktober lalu akan disambung esok bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lanjutan reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu dibuat bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Kita masih menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan dua beranak itu dan kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya (DPP) dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Azizee, dua lagi lelaki warga Nepal yang turut direman sejak 25 Oktober lalu bersama suspek tersebut dijangka dibebaskan dengan jaminan esok.
Sementara itu, ketika diminta mengulas motif pembunuhan, Azizee berkata, dendam dipercayai motif pembunuhan dua beranak tersebut.
”Siasatan kita mendapati suspek tersebut mempunyai dendam terhadap mangsa namun saya tidak boleh perincikan maklumat lanjut kerana ia masih dalam siasatan,” katanya.
Artikel berkaitan:
Dua beradik Nepal antara direman, motif bunuh dua beranak bakal terungkai
Media pada 25 Oktober lalu melaporkan tiga lelaki warga Nepal termasuk suspek utama pembunuhan kejam dua beranak itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman ketika itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 40 tahun sehingga 31 Oktober.
Suspek utama ditahan di pejabat imigresen, manakala abangnya dan rakan mereka diberkas di sebuah kediaman di Bukit Tengah di sini.
Dalam kejadian pada 18 Oktober lalu, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun ditemui mati dalam satu pembunuhan kejam di rumah sewa mereka.
Mayat wanita itu ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah dengan keadaan kepalanya hampir putus manakala anaknya pula, meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu itu.
Mayat mereka ditemui suami mangsa sekitar jam 7.30 malam.
Susulan itu, polis menahan tiga suspek termasuk suami mangsa berusia 57 tahun bagi membantu siasatan namun dibebaskan dengan jaminan mahkamah pada 25 Oktober lalu. – MalaysiaGazette
















