Barisan pemenang bagi setiap kategori IIDEX.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam penyelidikan, reka cipta dan inovasi berimpak tinggi melalui penganjuran Invention, Innovation and Design Exposition (iidex2025) yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam dari 28 hingga 30 Oktober 2025.

Bertemakan “Dari Idea ke Impak: Inspirasi iidex2025 @ UiTM”, program tahunan berprestij anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) UiTM ini menghimpunkan penyelidik, inovator, usahawan, pelajar dan rakan industri dari dalam dan luar negara.

Ia menjadi wadah strategik bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) secara menyeluruh.

Majlis penutupan iidex2025 disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, yang menegaskan, inovasi bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi budaya hidup yang mendasari daya saing universiti.

Menurutnya, iidex bukan sekadar pameran, tetapi ekosistem yang menghubungkan universiti, industri dan komuniti untuk memacu kemajuan melalui pengetahuan, kreativiti dan reka bentuk.

“‘Dari Idea ke Impak’ menggambarkan perjalanan seorang inovator — daripada benih idea kepada hasil ciptaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Islam Malaysia Berhad selaku penaja utama, serta semua peserta, penilai dan penganjur atas komitmen menjayakan iidex2025.

“UiTM beriltizam menjadi universiti terkemuka dunia yang dipacu keilmuan dan inovasi berasaskan nilai kemanusiaan. Melalui iidex, kita bukan hanya mencipta ilmu, tetapi memastikan setiap hasil penyelidikan membawa impak sebenar kepada ummah dan
negara,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, dalam ucapannya menekankan, iidex merupakan manifestasi budaya penyelidikan UiTM yang berteraskan nilai, ilmu dan integriti.

“Setiap penyertaan mencerminkan daya cipta dan semangat penyelidik UiTM dalam mencari penyelesaian kepada cabaran masyarakat dan industri. Peluncuran Dasar Penyelidikan dan Inovasi UiTM (DPI UiTM) hari ini memperkukuh tadbir urus, pembangunan bakat serta jaringan kerjasama yang lestari,” jelas beliau.

Tahun ini, iidex2025 menerima 497 penyertaan keseluruhan, termasuk 382 penyertaan fizikal, melibatkan penyelidik, pensyarah, pelajar dan rakan industri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast