KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited dalam menghormati kebebasan media serta menghargai peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada rakyat.
Menurut KPKT, di bawah pimpinan menterinya, Nga Kor Ming, kementerian itu sentiasa membuka ruang kepada media untuk menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional.
“KPKT sentiasa menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat setelah tular rakaman video pada satu majlis yang memaparkan Kor Ming dengan nada sedikit keras menjawab pertanyaan seorang wartawan berkaitan nama acara berkenaan yang menggunakan bahasa Inggeris.
Tindakan menteri itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).
Sementara itu, KPKT menjelaskan, sidang media pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 atau “I LITE U” diadakan bagi memperkukuh usaha promosi pelancongan negara.
“Program ini juga bertujuan menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik khususnya di ibu negara,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, keseluruhan sidang media tersebut dijalankan dalam Bahasa Melayu termasuk ucapan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai tanda komitmen kementerian menjunjung martabat bahasa kebangsaan.
“KPKT amat menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan, serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan sepanjang sidang media,” katanya.
Namun begitu, kementerian itu menjelaskan bahawa pihak yang menjawab soalan juga wajar diberikan ruang untuk memberi respon terhadap setiap persoalan yang diajukan.
“Teguran secara berhemah bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar Kerajaan,” tambah kenyataan itu.
Awal hari ini, Kor Ming mempertahankan tindakannya yang menegur seorang wartawan ketika pelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat malaysia 2026, Rabu lalu.
Memetik laporan Oriental Daily News, Kor Ming berkata, interaksi antara wartawan dan individu yang ditemu bual haruslah bersifat dua hala yang mana kedua-dua pihak mempunyai hak masing-masing. – MalaysiaGazette
















