Ibrahim (tengah) mengaminkan doa selepas merasmikan jenama restoran masakan Nusantara moden, Bumbu Babah di Jalan Hang Tuah, Melaka malam ini.

MELAKA – Jenama restoran masakan Nusantara moden, Bumbu Babah, melebarkan sayapnya ke Melaka menerusi outlet pertamanya di Jalan Hang Tuah, sekali gus memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan.

Outlet berkenaan merupakan hasil kerjasama antara syarikat tempatan, Analynsda Holdings dan Babah Ventures, pengendali rangkaian restoran Bumbu Babah di seluruh negara.

Selebriti Ajak Shiro yang juga pengasas restoran makanan autentik Minang itu berkata, kejayaan berkenaan juga menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri melalui penglibatan usahawan tempatan.

“Kami berbesar hati dapat melancarkan outlet pertama di Melaka melalui kerjasama erat antara usahawan tempatan dan jenama nasional.

“Inisiatif ini bukan sekadar memperluas operasi perniagaan, tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya di sini malam ini.

Ajak menyantuni Ibrahim (kanan) dan tetamu jemputan pada majlis perasmian.

Perasmian disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum.

Menurut Ajak, pemilihan Melaka sebagai lokasi baharu bukan sahaja berpaksikan kepada potensi pelancongan, tetapi juga kerana negeri ini memiliki nilai sejarah dan warisan kulinari yang dekat dengan identiti Bumbu Babah.

“Bila buka di Melaka, kita bukan sekadar buka restoran, kita hidupkan semula warisan rasa Nusantara yang dah lama sebati dengan masyarakat di sini.

“Harapnya Bumbu Babah jadi ruang untuk orang tempatan dan pelancong menikmati hidangan yang dekat dengan jiwa,” katanya.

Cawangan baharu itu dijangka menerima lebih 15,000 pengunjung bagi bulan pertama operasi, dan menjadi antara tarikan kulinari baharu kepada pelancong domestik serta antarabangsa.

Menurut Ajak, Bumbu Babah kini mengendalikan 34 outlet di seluruh Malaysia dengan fokus utama memartabatkan citarasa tempatan melalui rangkaian francais yang kukuh.

“Semua hidangan di restoran berkenaan disediakan daripada dapur pusat yang diiktiraf Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), memastikan kualiti dan kebersihan makanan dipatuhi sepenuhnya.

“Menjelang akhir tahun ini, kita mensasarkan 42 outlet di seluruh negara, dengan tumpuan kepada negeri-negeri berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan dan ekonomi tempatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast