KUALA LUMPUR – YTL Power International Berhad (YTL Power) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pembangunan AI Berdaulat (Sovereign AI) Malaysia apabila mengumumkan kejayaan strategiknya melaksanakan pelbagai inisiatif utama bersama NVIDIA Corporation.
Berucap pada sesi taklimat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan CEO NVIDIA, Jensen Huang di Sidang Kemuncak Ekonomi Pemimpin APEC 2025, kata Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, Malaysia kini berada di barisan hadapan membangunkan infrastruktur digital yang dimiliki sepenuhnya oleh negara sendiri.
“Dengan pelancaran YTL AI Cloud dan ILMU model bahasa besar pertama yang dibangunkan serta dimiliki oleh Malaysia kita kini antara negara pertama di rantau ini yang memiliki kemampuan AI berdaulat sebenar.
“Ini bukan sekadar soal kemajuan teknologi, tetapi soal kedaulatan digital dan keyakinan nasional. Malaysia kini mempunyai keupayaan untuk membina dan mengawal sendiri sistem AI yang mampu memberi manfaat kepada rakyatnya tanpa bergantung sepenuhnya pada pihak luar,” katanya dalam pertemuan itu baru-baru ini.
Seok Hong berkata, pusat data AI milik YTL di Taman Pusat Data Hijau YTL, Kulai, Johor merupakan antara projek paling signifikan dalam perjalanan Malaysia menuju ekonomi digital berdaulat.
Jelasnya, pusat data berkapasiti 600 megawatt (MW) itu dibangunkan bersama NVIDIA dan menggunakan NVL72 Grace Blackwell (GB200) GPU berpenyejukan cecair sistem terkini dunia yang mampu memproses jumlah data berskala besar dengan kecekapan tenaga maksimum.
“Kemudahan ini bukan sekadar pusat data, tetapi nadi kepada masa depan ekonomi digital Malaysia.
“Ia dijana sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui dari loji solar 500MW kami di tapak yang sama. Ini menjadikannya antara pusat data AI hijau terbesar di Asia Tenggara membuktikan bahawa kemajuan teknologi boleh seiring dengan kelestarian,” jelasnya.
Beliau menambah, projek itu juga akan memberi kesan langsung kepada ekosistem tempatan termasuk penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peluang penyelidikan bersama universiti serta penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan AI.
“Kami mahu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan ini dari jurutera tempatan hingga pelajar universiti yang sedang menuntut dalam bidang sains komputer dan AI.
“Malaysia tidak lagi hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi kini pencipta dan pemilik teknologi AI sendiri,” katanya.
Selain itu, kata Seok Hong, pelancaran YTL AI Cloud yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku pertama 2026 akan menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab AI dan pusat data paling penting di Asia.
“Dengan kedudukan strategik Johor berhampiran Singapura dan sambungan rangkaian berkelajuan tinggi, Malaysia kini mempunyai kelebihan unik untuk menarik pelaburan global dalam bidang AI, data raya dan pengkomputeran awan.
“Kami menerima banyak minat daripada syarikat antarabangsa yang mahu memanfaatkan AI infrastruktur Malaysia yang hijau dan berdaulat,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan atas dasar berpandangan jauh yang telah mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan pesat sektor AI negara.
“Dasar kerajaan yang menyokong inovasi dan pelaburan berimpak tinggi inilah yang membolehkan YTL bergerak pantas membina asas AI Malaysia.
“Kita kini di ambang era baharu yang mana Malaysia mampu bersaing sebagai kuasa AI serantau, dengan gabungan kepakaran tempatan, tenaga hijau dan teknologi global,” tegasnya.
Untuk makluman, YTL AI Cloud ialah penyedia awan AI berprestasi tinggi yang menempatkan superkomputer berkuasa ultra berasaskan seni bina NVIDIA Blackwell.
Terletak di kawasan seluas 1,640 ekar di Kampus Pusat Data Hijau YTL, Johor, kemudahan ini dijana oleh tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya dan direka untuk menyokong aplikasi AI dan pembelajaran mesin (ML) berskala besar.
Pusat ini juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekosistem teknologi Malaysia, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi penyelidikan serta agensi kerajaan dalam mempercepat penggunaan AI di pelbagai sektor. -MalaysiaGazette
















