JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura selepas kemalangan di Kilometer 19, Jalan Johor Bahru- Pontian, arah Johor Bahru, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengetahui kemalangan berkenaan hasil maklumat awam pada pukul 7.10 pagi.
“Kemalangan tersebut berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun datang dari arah bandar Pulai menuju tempat kerja di Singapura.
“Motosikal ditunggang mangsa kemudian hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum langgar tiang lampu di atas pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Pihaknya menyeru orang ramai yang mengetahui tentang kejadian itu agar menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Zulhisyam Aziz 019-7432966.- MalaysiaGazette















