BAYAN LEPAS – Jalan Kenari di Sungai Ara di sini ditutup kepada semua kenderaan sehingga esok bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan selepas kejadian lubang benam sedalam tiga meter di kawasan berkenaan petang tadi.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang telah digerakkan bagi melaksanakan kerja mitigasi kecemasan di lokasi terbabit.

“Kita menerima maklumat mengenai kejadian lubang benam di persimpangan Jalan Kenari dan Jalan Dato Ismail Hashim.

“Pasukan JKR telah turun ke lokasi untuk kerja mitigasi segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Justeru, Jalan Kenari ditutup sementara sehingga 5 November bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairil turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi arahan kakitangan bertugas dan berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.

Difahamkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast