MELAKA – Penggunaan gajet tanpa kawalan hari ini memberi kesan buruk terhadap perkembangan anak muda, termasuk ketagihan permainan dalam talian, gangguan emosi serta penghakisan nilai moral dan adab dalam masyarakat.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, lebih buruk apabila keadaan itu turut membuka ruang kepada penyebaran budaya negatif dan tingkah laku ganas yang dipengaruhi melalui media sosial.
“Banyak insiden yang berlaku hari ini berpunca daripada penyalahgunaan telefon pintar dan akses media sosial tanpa kawalan.
“Terlalu banyak masa diluangkan di hadapan skrin menjadikan generasi muda hilang keupayaan berinteraksi secara bersemuka dan akhirnya terdedah kepada pengaruh luar yang menjejaskan pemikiran serta tingkah laku,” katanya.

Kalsom (dua dari kiri) dan Norsabrina (tiga dari kanan) pada majlis Program Apprentice Wanita Muda anjuran Yayasan Belia Seduian (WYF) di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Apprentice Wanita Muda anjuran Yayasan Belia Seduian (WYF) di Ayer Keroh di sini hari ini. Hadir sama Setiausaha Agung WYF, Datuk Norsabrina Mohd Noor.
Mengulas lanjut Kalsom turut melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan remaja meniru aksi atau bahasa kasar yang dilihat dalam permainan video.
“Ini termasuklah permainan yang menjadikan keganasan sebagai norma malah dalam sesetengah kes, perkataan seperti “I kill you” diulang tanpa disedari menggambarkan bagaimana unsur maya telah meresap ke dunia sebenar.
“Kita kena pantau anak-anak, cucu-cucu kita bila pegang telefon tu, hadkan satu jam, dua jam sahaja kerana kalau dibiarkan, ketagihan boleh berlaku sampai sanggup buat perkara di luar kawalan,” katanya.
Jelasnya, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, termasuk video berunsur ganas, turut memberi kesan psikologi terhadap remaja yang masih dalam proses pembentukan identiti.
“Keadaan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh budaya asing serta kehilangan nilai kesopanan yang menjadi teras masyarakat,” katanya
Program sehari itu menghimpunkan seramai 105 peserta terdiri daripada wanita muda dan golongan belia wanita yang mengikuti sesi bimbingan serta forum kepimpinan. – MalaysiaGazette
















