KLUANG – Johor antara negeri yang menjadi penyumbang terbesar dalam sektor pertanian negara ketika ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Kluang pula muncul sebagai pengeluar utama bekalan makanan berasaskan tanaman di negeri itu.
Jelasnya, penggunaan teknologi dalam penghasilan dan keluasan tanah, membolehkan daerah ini menjadi antara penyumbang utama dalam sektor pertanian negara.
“Dapatan ini diperolehi melalui statistik yang telah dikumpul melalui pelbagai mekanisme termasuk pelaksanaan banci pertanian yang dilaksanakan baru-baru ini.
“Kami akan terus melakukan kemas kini statistik ini untuk membolehkan pentadbiran ataupun usaha memperkasakan sektor pertanian negara agar dapat terus ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Statistik negara 2025 Peringkat Negeri Johor di Gunung Lambak di sini hari ini.
Kata Uzir, data menunjukkan penggunaan teknologi dalam penghasilan dan aspek keluasan membolehkan Kluang menjadi antara daerah yang penyumbang dalam sektor pertanian negara.
Menurut beliau lagi, jika keluasan itu pertanian itu diusahakan dalam saiz yang besar, kos pengeluaran dapat direndahkan dan ini antara kelebihan apabila sesuatu daerah itu mempunyai perancangan positif dalam sektor pertanian.
“Ia juga boleh menjadi faktor kelebihan untuk maju ke hadapan dan keterlibatan syarikat dalam sektor pertanian antara penyumbang dalam sektor pertanian negara kita,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















