Sim Chong Siang (tiga dari kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) diantara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Hotel Zenith hari ini

KUANTAN – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini memeterai memorandum kerjasama (MoC) dalam usaha memastikan ketersediaan tenaga kerja tempatan merebut peluang pekerjaan berimpak tinggi hasil daripada pelaburan baharu.

Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, kerjasama terbaharu itu sejajar dengan aspirasi Pelan Induk ECER 2.0 yang menyasarkan 120,000 peluang pekerjaan baharu di koridor Pantai Timur bermula tahun depan.

“Negeri Pahang mendapat manfaat paling banyak berbanding dua lagi negeri di Pantai Timur dengan dianggarkan hampir 80,000 daripada jumlah peluang pekerjaan itu akan tersedia untuk rakyat.

“Mungkin ia susulan perkembangan industri yang pesat di beberapa lokasi di negeri ini seperti di Gebeng, lebih banyak pelaburan yang masuk dan membuka peluang pekerjaan yang banyak,” katanya.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Industry Connect @ East Coast yang diadakan di  di sini hari ini

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Sutekno Ahmad Belon dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling.

Tambah Chon Siang, kerjasama yang dimeterai hari ini boleh merapatkan jurang antara inisiatif kerajaan persekutuan dan rakyat tempatan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi untuk rakyat.

“Dengan kemahiran, latihan dan hala tuju yang betul, golongan belia tidak perlu lagi meninggalkan kampung halaman untuk mencari peluang kerana mereka boleh berjaya di sini.

“Pantai Timur sedang berkembang pesat sebagai hab tenaga bersih, pembuatan berteknologi tinggi, nadir bumi dan industri penangkapan karbon.

“Melalui kerjasama ini, kami ingin memastikan bakat tempatan tersedia untuk mengambil bahagian dalam bidang pertumbuhan baharu ini,” katanya lagi.

Program Industry Connect @ East Coast 2025 yang berlangsung hari ini mengintegrasikan platform utama TalentCorp seperti MyMahir, Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL) dan MyNext bagi melaksanakan pendekatan pembangunan bakat serantau yang bersepadu dan berpandukan data.

Pendekatan itu memastikan usaha peningkatan kemahiran, penjajaran kurikulum dan strategi pengambilan pekerja berpandukan maklumat pasaran buruh semasa bagi membolehkan bakat Pantai Timur memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast