Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama warga JPM ketika hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga JPM bagi Bulan November di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama warga JPM ketika hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga JPM bagi Bulan November di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  akan memberikan penjelasan terperinci di Dewan Rakyat esok mengenai keputusan kerajaan yang tidak merayu terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah.

Menurut beliau, keputusan kerajaan itu dicapai secara bersama melalui mesyuarat Kabinet selepas meneliti implikasi perundangan dan kepentingan semua pihak, semalam.

Ia termasuk pertimbangan konsensus berhubung isu-isu yang berkaitan dengan 40 peratus mengikut Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kita memutuskan secara konsensus mengenai apa yang kita putuskan, soal 40 peratus yang kita ikut Perkara 112C dan 112D,  keputusan itu tidak kita rayu, tetapi keputusan penghakiman yang kita rayu, yang akan saya jelaskan di Parlimen esok secara lebih terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan November di Putrajaya, pagi ini.

Perkara 112C adalah berkaitan geran pemberian kewangan Persekutuan kepada kerajaan negeri dan Perkara 112D pula merujuk kepada pemberian khas kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, kerajaan Persekutuan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemberian khas 40 peratus hasil dan akan memulakan rundingan segera bersama Kerajaan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, dalam kenyataan sama, AGC turut memaklumkan  nasihat undang-undang telah diberikan kepada Jemaah Menteri berkaitan kecacatan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi.

Antara lain, alasan penghakiman didakwa mengandungi tuduhan berat terhadap kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, termasuk dakwaan bahawa kedua-dua pihak telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.

Dalam ucapan sama, Anwar menjelaskan kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan hak negeri Sabah dan Sarawak dipertahankan tanpa mencetuskan kekeliruan dari sudut perundangan atau mencabar kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keputusan tersebut bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui perbincangan mendalam di peringkat tertinggi kerajaan.

“Setelah berunding berjam-jam, mendengar pandangan dan usul daripada setiap ahli jemaah Menteri, di antara yang paling deras itu adalah (Datuk Seri) Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang–Undang dan Reformasi Institusi) maka kita memutuskan cara muafakat,” ujarnya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan kerajaan kekal komited terhadap semangat dan hak negeri, selari dengan prinsip federalisme, rundingan berterusan dan keadilan antara wilayah.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kestabilan negara, hubungan Persekutuan-negeri dan kesefahaman antara pemimpin adalah kunci dalam memastikan agenda MA63 dapat dilaksanakan secara mapan tanpa menjejaskan keharmonian nasional.

Dalam mesyuarat bersama ahli Kabinet semalam, Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.

Antara dakwaan itu ialah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan Perlembagaan.

Lantaran itu, Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Celestina Stuel Galid, ketika menyampaikan keputusannya di mahkamah mengisytiharkan bahawa pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah “tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,” serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah tidak sah bagi pihak Persekutuan untuk membuat pemberian khas sebagaimana yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh,” katanya.

Hakim juga mendapati bahawa Perintah Semakan Kedua dan Ketiga yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan adalah tidak sah, dan membenarkan permohonan sepenuhnya oleh Sabah Law Society (SLS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast