Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara di Putrajaya. 12 November 2025. foto Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 yang diadakan hari ini bersetuju dengan strategi mampan yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) bagi memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

Menurutnya, fokus utama kini adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang tahun 2030.

Fokus itu termasuk memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu, sejajar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia.

Anwar berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga, serta meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti (e-Mobility Service Platform) yang akan menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast