KUALA LUMPUR – Universiti Malaya melalui Inisiatif MyResQ memperkasa masyarakat dengan ilmu dan kemahiran pertolongan cemas.
Program ini dibiayai oleh Yayasan Inovasi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan
diketuai oleh Dr Mohd Hafyzuddin Md Yusuf, Pensyarah Jabatan Perubatan Kecemasan, Universiti Malaya serta disokong oleh Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares).
Beliau dibantu oleh Dr Mohd Afiq Mohd Nor, pengasas bersama aplikasi MyResQ dan Yang Dipertua Ikram Health, serta Dr Mohammad Aizuddin Azizah Ariffiin, Pakar Perubatan Kecemasan di KPJ Tawakal.
Melalui kerjasama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), MyResQ telah menjelajah pelbagai kawasan termasuk DUN Lembah Jaya dan Seri Kembangan, melatih masyarakat dalam kemahiran CPR, penggunaan AED, serta tindakan kecemasan.
Program ini dijangka diperluaskan ke 10 lokasi lagi pada tahun 2025 dan 2026 — dengan matlamat melahirkan lebih ramai penyelamat komuniti berdaftar di bawah platform MyResQ.
Pada 27 September 2025, bersempena FIMA Lifesavers Day, Inisiatif MyResQ berkolaborasi bersama Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) bagi mengadakan latihan CPR di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Shah Alam.
Program ini merupakan sebahagian daripada gerakan global di bawah Federation of Islamic Medical Associations (FIMA), yang bertujuan mendidik masyarakat dunia tentang pertolongan cemas sempena World Heart Day.
Di Malaysia, aktiviti ini dijalankan serentak di pelbagai lokasi termasuk Masjid Negara, Masjid Bandar Seri Putra, dan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah IIUM.
Peserta diajar teknik CPR untuk dewasa dan bayi, Heimlich Maneuver, dan penggunaan AED. Pendek kata — ilmu asas yang boleh membezakan antara hidup dan mati.
Menurut Dr Mohd Hafyzuddin, inisiatif MyResQ menggunakan prinsip asas dan menekankan langkah mudah namun kritikal yang boleh diingati semua yang menggunakan akronim ‘DRS ABCD’.
“DRS merujuk kepada Danger, Response, dan Shout; tiga perkara pertama yang sepatutnya didahulukan apabila kita berada dalam situasi cemas sedemikian. Kita perlu memastikan mangsa berada dalam kawasan yang selamat, memeriksa reaksi mangsa, dan menghubungi talian 999 dengan segera.
“ABCD pula merujuk kepada empat langkah CPR yang patut dimulakan segera, iaitu Airway, Breathing, Compression, dan Defibrillation. Kita perlu memastikan laluan udara mangsa tidak terhalang; memeriksa nafas mangsa selama 10 saat; menekan dada mangsa 100-120 kali dalam masa seminit dengan kedalaman 5-6 cm; dan akhir sekali menggunakan AED,
jika ada,” terangnya panjang lebar.
Dengan usaha berterusan daripada Universiti Malaya, Ikram Health, dan agensi rakan strategik, Inisiatif MyResQ diharap menjadi pemangkin revolusi kesedaran pertolongan cemas dalam kalangan rakyat Malaysia kerana pada akhirnya, setiap detik dan setiap tindakan boleh menjadi penentu harga sebuah nyawa, dan penyelamatnya mungkin adalah anda sendiri. – MalaysiaGazette
















