MELAKA – Seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 dan kekasihnya didenda RM2,000 dan RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah berkhalwat di dalam tandas sebuah kolej vokasional, di sini, semalam.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman terhadap pemuda berusia 20 tahun itu dan pelajar, 17 tahun selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati berkurung yang mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan isteri atau mahramnya di dalam tandas perempuan kolej berkenaan kira-kira jam 11 pagi, semalam
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, manakala pelajar perempuan terbabit didakwa mengikut Seksyen 53 (2) enakmen sama.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh lelaki yang juga merupakan bekas pelajar kolej sama memohon denda ringan dengan alasan menanggung keluarga.
Tertuduh remaja perempuan pula memberi alasan masih belajar.
Radzwan dalam hujah pemberatannya memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan zina dilakukan kedua-dua tertuduh adalah dosa besar yang dilarang Allah.
Difahamkan, siasatan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mendapati, tertuduh lelaki mengaku melakukan hubungan seks dengan pelajar terbabit di dalam tandas berkenaan. – MalaysiaGazette
















