KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agar Ketua Setiausaha dan ketua jabatan untuk memberi perhatian serius terhadap isu-isu pra-pelaksanaan projek seperti status tanah mendap atau wakaf, proses pengambilan tanah, hakisan dan jajaran laluan air.
Perkara itu dinyatakan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau, hari ini.
Mesyuarat tersebut menumpukan perbincangan kepada hala tuju dan penyelarasan projek-projek pembangunan yang melangkaui Rancangan Malaysia Ke-11.
Ini termasuk garis panduan berkaitan perlindungan dan pengalihan utiliti, serta kajian awalan ke arah pengoptimuman pembangunan projek.
“Mesej saya jelas bahawa kekangan seperti ini tidak boleh berulang, kerana ia hanya membawa kepada pembaziran peruntukan dan menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar menyeru semua pihak terlibat agar mengutamakan penggunaan sumber, produk dan peralatan tempatan, bagi mengoptimumkan perbelanjaan pembangunan,
Ini kerana penjimatan yang diperolehi daripada hasil langkah tersebut wajar disalurkan semula untuk meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur utama rakyat. -MalaysiaGazette
















