MELAKA – Tersentuh dengan kebaikan seorang gadis yang pernah membantunya melalui waktu sukar lima tahun lalu mendorong
pengasas Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong, menggerakkan kempen kutipan dana untuk membantu S. Sametha Krishna pula.
Menurut Chew, kebaikan ditonjolkan gadis berusia 21 tahun itu terhadapnya walaupun berlainan bangsa, meninggalkan kesan mendalam yang tidak mungkin dilupakan seumur hidupnya.
Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 telah menyebabkan perniagaan lamanya hampir lumpuh dan dia bergelut mencari ruang untuk memulihkan ekonomi dengan membuka cawangan pertama Cat Supermarket di Bukit Baru di sini.

“Ketika itulah, muncul Sametha Krishna bersama dua adiknya membantu merakam video promosi secara sukarela
dengan pakaian berwarna-warni, menjadikan video itu begitu bermakna.
“Malah bapa gadis itu, bekas wartawan R.A. Sharavana Theerta turut menolak sebarang bayaran membuatkan saya tidak akan melupakan kebaikannya yang membawa semangat keharmonian rakyat Malaysia,” kata beliau.
Chew berkata, namun kini keadaan gadis berkenaan tidak lagi seperti dulu apabila terpaksa bergantung penuh dengan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Seremban pada Februari lalu.
“Akibatnya, Sametha cedera parah di kaki dan melihatnya terpaksa berkerusi roda dalam usia yang masih muda benar-benar menyentuh hati saya.
“Dia pernah hadir ketika saya tidak punya apa-apa dan sekarang, tibalah pula masanya saya membantunya dengan melancarkan kempen kutipan dana untuk menampung rawatan dan pemulihan Sametha,” tambahnya.
Chew berkata, beliau turut meminta pelanggannya sama membantu dengan menempatkan kotak sumbangan di beberapa cawangan Cat Supermarket, termasuk di cawangan baharu di Kempas, Johor Bahru, yang baru dibuka kepada orang ramai.
“Ini secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagaimana sebuah perniagaan yang dibina atas sokongan kecil orang sekeliling kini mengembalikan kebaikan buat mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















