Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, meningkat berbanding 4.4 peratus pada suku kedua.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, peningkatan itu didorong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi.

Menurut beliau, perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan dan program bantuan wang tunai.

“Aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan modal yang berterusan oleh sektor swasta dan sektor awam.

“Dalam sektor luaran, eksport bersih mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan eksport yang mengatasi pertumbuhan import.

“Daripada segi penawaran, pertumbuhan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya disumbangkan oleh subsektor berkaitan pengguna.

Jelas beliau, prestasi sektor perkilangan didorong oleh pengeluaran barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan barangan berkaitan pengguna yang lebih kukuh.

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat semula, mencerminkan pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang kembali pulih selepas kerja penyelenggaraan berjadual.

”Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 2.4 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast