JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah menyifatkan Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan minggu lalu sebagai pro rakyat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata, belanjawan tersebut antaranya mengandungi lebih 260 inisiatif yang merangkumi enam teras Maju Johor 2023.
“Ini melibatkan urus tadbir kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan kesihatan dan kelestarian alam sekitar serta orang muda Johor.
“Semua ini adalah hasil urus tadbir kerajaan negeri yang mampan apabila hasil kerajaan negeri meninggat RM2.55 Billion pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Khamis lalu membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negeri.
Syed Hussien berkata, pertumbuhan itu didorong oleh kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus tahun ini dan keyakinan pelabur luar yang telah melabur RM218 billion dalam tempoh tiga tahun enam bulan.
Bukan setakat itu, katanya, Johor mendahului jualan pertanian apabila menyumbang RM 27.2 Billion tahun ini.
“Dengan angka yang disenarai di atas membuktikan keupayaan kerajaan untuk membelanjakan hasil kepada rakyat dan bukan sekadar angka yang dipamerkan.
“Inilah yang dinamakan bajet pro rakyat, apabila setiap sen yang disalurkan tepat pada sasarannya agar manfaat tersebut dapat dirasai sendiri oleh penerimanya,” ujarnya.
Justeru, Syed Hussien mengajak rakyat mendokong aspirasi Maju Johor 2030 dengan penuh iltizam bagi membina Johor bukan saja maju malah negeri yang mempunyai hati kepada rakyat.- MalaysiaGazette
















