PETALING JAYA – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan bogel dengan tangan terikat berhampiran Bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan pada penghujung Oktober lalu.
Tertuduh, K Kaarthiek, 26, seorang pekerja teknologi maklumat dan A. Hariprasanth, 23, pemandu lori tiba di kompleks mahkamah sekitar 9 pagi dengan berbaju putih serta diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Kedua-duanya kelihatan tenang sepanjang prosiding dan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Saraswathy Chan Chee Keong, 24, antara 6.18 petang, 24 Oktober hingga 2.17 pagi, 25 Oktober lalu di sebuah kawasan jalan berhampiran bulatan berkenaan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha, memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret kemudian menetapkan 16 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan dan arahan seterusnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hu manakala tertuduh pertama Kaarthiek diwakili peguam Sivahnanthan Ragava dan seorang lagi Hariprasanth diwakili peguam, Kailash Sharma bersama Datin Raj Preet Kaur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau jika tidak dikenakan hukuman gantung, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara minimum 30 hingga maksimum 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan.
Pada 29 Oktober lalu, sekitar pukul 3.45 petang, orang awam menemui mayat seorang wanita selepas terhidu bau busuk berhampiran bulatan di kawasan Blue Water Estate. Pemeriksaan awal mendapati mangsa dalam keadaan bogel dan tangan terikat.
Mangsa yang berasal dari Ampang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya dan turut mengambil pekerjaan sambilan di sebuah kedai serbaneka di Bukit Bintang.
Susulan penemuan itu, polis menahan lima individu bagi membantu siasatan, termasuk bekas teman lelaki mangsa, abang angkatnya dan rakan serumah, setelah proses siasatan dijalankan, dua daripada mereka akhirnya didakwa hari ini.
Mahkamah menetapkan 16 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula, sementara polis dan pihak pendakwaan melengkapkan dokumen berkaitan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh. – MalaysiaGazette
















