Pasukan Sekolah Kebangsaan Long Boh (baju kuning) bersama guru pengiring bergambar selepas memenangi pertandingan peringkat global dron G-Sky di Malaysia Techlympics 2025.

MELAKA – Pasukan D’lobo Nexus dari Sekolah Kebangsaan Long Boh, Perlis membuat kejutan apabila bergelar juara peringkat global Cabaran Skytech Global (G-Sky) atau dron dalam pertandingan akhir kebangsaan Malaysia Techlympics 2025.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) baru-baru ini, – pasukan D’lobo Nexus yang diwakili oleh Muhammad Eiman Rayyan Adi Yusrin dan Ameer Firash Muhammad Fauzi – masing-masing berusia 12 tahun, turut menewaskan pasukan antarabangsa seperti Kemboja dan pasukan Dazhi dari China.

Menariknya, kedua-dua pelajar dari Perlis itu hanya mula menjalani latihan membawa dron dan memperlajari coding pada awal tahun ini dan langsung tidak menyangka sebuah sekolah kampung itu mampu bersaing ke peringkat global.

Pertandingan yang sama turut disertai oleh Indonesia dan  Thailand.

Menurut guru pembimbing yang juga jurulatih, Nor Heslee Mat, 44, meskipun kedua-dua anak muridnya tidak mempunyai sebarang asas pada peringkat awal namun mereka menunjukkan potensi dan minat yang tinggi.

“Sejujurnya sampai hari ini masih rasa seperti mimpi kerana semasa pertandingan final tugasan yang diberi memang sukar dan persaingan sangat sengit ditambah dengan pasukan global yang juara di negara masing-masing.

“Jika hendak dibandingkan dengan kami pasukan dari sebuah sekolah kampung di tepi sawah padi memang terasa kerdil, tetapi usaha tanpa henti kedua-dua pelajar yang sanggup berlatih walaupun di hari cuti membuahkan hasil. Semangat ingin berjaya itu yang cukup berharga,” ujar Nor Heslee.

Tambah Heslee, tiada misi yang mustahil untuk sebuah sekolah kampung atau pedalaman berjaya ke peringkat global kerana sebagai guru beliau percaya setiap pelajar memiliki potensi yang harus digilap dan dibimbing.

Apatah lagi, penganjur turut menyediakan modul asas dan pembelajaran secara atas talian untuk membantu pelajar menggunakan dron dan juga pertandingan lain dalam Malaysia Techlympics 2025.

“Jumlah pelajar di Sekolah Kebangsaan Long Boh hanyalah 160 orang dan kebanyakan mereka adalah anak petani tetapi mereka mempunyai potensi yang besar sama dengan pelajar di bandar.

“Bezanya mereka agak lemah dalam Bahasa Inggeris tetapi selepas berlatih dan menyertai pertandingan Malaysia Techlympics saya nampak penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris bertambah baik kerana digunakan dalam coding.

“Keyakinan diri mereka juga bertambah selain memiliki skil critical thinking atau pemikiran kritis. Ini kerana tugasan yang diberi cukup sukar, mereka perlu mengira jarak, kelajuan dron dan harus menganalisa untuk menyelesaikan tugasan pada waktu yang diberikan,” jelas Nor Heslee

Selain daripada G-Sky, Sekolah Kebangsaan Long Boh turut menghantar pasukan dalam kategori Cabaran Siasatan Jenayah (CSI), Pemikiran Komputasi (EZ Bot) dan Cabaran EZ Rover (FC-1).

Kemenangan di Malaysia Techlympics 2025 membolehkan pasukan D’lobo Nexus dari Sekolah Kebangsaan Long Boh, Perlis itu mewakili Malaysia ke pertandingan dron antarabangsa iaitu Pilot X di Hong Kong yang akan berlangsung pada Januari tahun depan.

Dalam pada itu, pasukan dari negeri Pahang bergelar juara keseluruhan peringkat akhir kebangsaan pertandingan Malaysia Techlympics 2025 apabila berjaya membawa pulang 12 pingat secara keseluruhan.

Program Malaysia Techlympics 2025 juga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) serentak pada peringkat akhir kebangsaan baru-baru ini.

Rekod berkenaan masing-masing bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Belia Antarabangsa serta Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak di Dalam Bangunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast