Salah satu gerai yang mengambil bahagian dalam Dapur Serambi Niaga.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan fasiliti baharu dinamakan Dapur Serambi Niaga bagi memperkukuh pembangunan produk dan inovasi keusahawanan mahasiswa berasaskan sumber tempatan.

Pelancaran yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain itu berlangsung sempena Hari Terbuka Serambi Niaga 2025 di kampus UMT.

Menurut beliau, inisiatif tersebut menjadi platform latihan praktikal penting bagi pelajar menguasai kemahiran penghasilan produk inovatif, khususnya dalam sektor marin, agro dan agro-makanan, selain menyokong agenda bioekonomi negara.

Fasiliti berbentuk dapur kabin itu berfungsi sebagai hab latihan merangkumi aspek pembelajaran, inovasi, keselamatan makanan dan pematuhan piawaian industri, sekali gus mengukuhkan ekosistem keusahawanan di UMT.

Hari Terbuka Serambi Niaga turut disertai beberapa agensi kerajaan yang menawarkan khidmat nasihat serta menyertai Jualan Rahmah MADANI sebagai tanda sokongan berterusan pelbagai pihak terhadap pembangunan keusahawanan mahasiswa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zin berkata, usaha seperti Dapur Serambi Niaga merupakan antara komitmen universiti untuk melahirkan pelajar yang holistik, seimbang dan bersedia menghadapi dunia sebenar.

“UMT mahu mahasiswa bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi memiliki kemahiran insaniah, kreativiti dan keberanian mencipta nilai melalui inovasi serta keusahawanan. Inilah asas pembentukan graduan berdaya saing masa depan”. katanya.

Selain demonstrasi produk seperti inovasi sabun, aiskrim kelulut, program Green Chef dan projek fertigasi, program itu turut mempamerkan inisiatif kelestarian kampus termasuk penghasilan baja kompos dan racun organik berasaskan penyelidikan.

UMT turut merakamkan penghargaan kepada alumni yang terus menyumbang dari segi kepakaran dan sokongan material dalam menjayakan program tersebut.

Seiring aspirasi Malaysia Madani, UMT menegaskan komitmen memperkukuh jaringan universiti–komuniti sebagai usaha melahirkan graduan berintegriti, berdaya saing dan mampu menjadi pemimpin pembangunan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast