Wartawan MalaysiaGazette bersama Amir (tiga dari kanan), Hamzatulakmar (empat dari kiri) dan sebahagian ahli jawatan kuasa PENDIKA selepas membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru, Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang wartawan portal MalaysiaGazette (MG) membuat laporan polis hari ini selepas mendakwa menerima ugutan, serangan peribadi, fitnah serta menjadi mangsa doxxing oleh beberapa individu di Facebook.

Ia selepas laporan berita yang ditulisnya mengenai kes reman seorang guru silat disyaki mencabul pelajar berusia 14 tahun pada 5 November lalu.

Pengadu, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, 44, memaklumkan insiden disedari semalam apabila beliau melihat beberapa pengguna Facebook meninggalkan komen berbaur ancaman, ajakan serangan berkumpulan dan penghinaan terhadapnya.

Menurutnya, komen-komen tersebut muncul di bawah hantaran berkaitan laporan yang dikeluarkan MalaysiaGazette pada 5 November lalu, turut mendedahkan maklumat peribadi tanpa kebenaran (doxxing) terhadap dirinya.

“Komen mereka bukan sekadar menghina, tetapi ada unsur ugutan fizikal, fitnah serta cubaan mengajak orang ramai menyerang saya.

“Lebih membimbangkan apabila ada individu turut menyebarkan akaun Facebook peribadi dan gambar keluarga saya,” katanya.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Beliau ditemui selepas bersama Penolong Setiausaha Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Mohd Hamzatulakmar Md Zakaria selepas membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru, di sini, hari ini.

Muhammad Rizanizam berkata, antara komen yang dilaporkan termasuk ajakan “jemput kenduri berjemaah” terhadap pengadu, dakwaan beliau “kaki fitnah” yang perlu “dihapuskan”, serta seruan “jom ramai-ramai rembat” oleh seorang lagi pengguna.

Pengadu berkata, tindakan itu bukan sahaja menjejaskan reputasinya sebagai wartawan berpengalaman hampir 20 tahun, malah menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan diri dan keluarga apabila gambarnya bersama ahli keluarga turut dikongsikan kepada umum.

“Saya bimbang keselamatan isteri dan anak-anak terjejas. Mereka juga terkesan emosi apabila gambar kami dijadikan bahan serangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataannya mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh Wartawan MalaysiaGazette.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Kenyataan dikeluarkan PENDIKA

Sementara itu, Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat dalam kenyataannya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ugutan, cacian dan makian terhadap golongan media di negeri itu.

“Tindakan berbentuk ugutan itu bukan sahaja memberi kesan negatif kepada wartawan berkenaan, malah dibimbangi boleh merebak kepada pengamal media lain sekiranya tidak ditangani segera.

“PENDIKA menegaskan bahawa sebagai pengamal media yang diperakui oleh kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), pihak terbabit sentiasa melaksanakan tugas secara profesional dan beretika berlandaskan fakta sahih daripada pihak berautoriti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, PENDIKA menggesa PDRM dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit dalam kes ugutan siber berkenaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengamal media, khususnya di Melaka, terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast