Anggota Malbatt ketika sujud syukur pada Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir Malbatt 850-12 Unifil di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang Foto AIZAT ZAINAL, 18 NOVEMBER 2025.

SUBANG JAYA – Seramai 209 anggota dari kumpulan akhir Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang terlibat dengan misi pengaman di Selatan Lubnan selamat tiba ke tanah air pada hari ini.

Mereka tiba kira-kira jam 5.30 petang tadi selepas setahun berkhidmat dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Kumpulan akhir itu terdiri daripada 209 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tujuh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sekali gus melengkapkan keseluruhan 854 anggota terlibat.

MALLBAT 850-12 diketuai oleh Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh diatur gerak ke Lubnan pada 6 November tahun lalu yang ditempatkan di Kem Ma’rakah dan Kem Tibni di selatan negara itu.

Suasana anggota Malbatt ketika pulang pada Majlis Penerimaan Kumpulan Terakhir Malbatt 850-12 Unifil di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Foto AIZAT ZAINAL, 18 NOVEMBER 2025.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang menyifatkan kepulangan kumpulan terakhir itu sebagai simbol kejayaan Malaysia dalam melaksanakan misi pengaman di kawasan bergolak.

“Keberhasilan kontinjen ini membuktikan bahawa kecemerlangan tidak lahir daripada satu pihak semata-mata tetapi hasil komitmen yang tinggi yang ditujukan oleh setiap peringkat anggota dari barisan kepimpinan hingga kepada anggota menjalankan tugas di lapangan.

“Inilah kekuatan sebenar MALBATT 850-12, kekuatan yang terbukti apabila berdepan dengan cabaran operasi yang kompleks dan kita sedia maklum pada pernugasan kali ini hadir dalam suasana yang lebih mencabar ekoran konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober 2023.

“Ketegangan serantau ini secara langsung memberi kesan pada keadaan keselamatan di selatan Lubnan dan menuntut keupayaan anda untuk menyesuaikan diri dengan cepat dalam keadaan yang tidak menentu,” katanya.

Reaksi Ahli keluarga pada Majlis penerimaan kumpulan terakhir Malbatt 850-12 Unifil di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang. Foto AIZAT ZAINAL, 18 NOVEMBER 2025.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Kepulangan Panglima Angkatan Tentera dan kumpulan terakhir MALBAT 850-12 dari Lubnan di Lapangan Terbang TUDM, di sini hari ini.

Tambahnya, mereka turut berdepan cabaran insiden pada 7 November 2024 yang mengakibatkan enam anggota pengaman cedera ketika pergerakkan dari Beirut ke Kem Ma’rakah yang bukan satu tugas mudah.

Mohd Nizam menegaskan bahawa penglibatan berterusan Malaysia dalam misi pengaman PBB mencerminkan peranan ATM sebagai angkatan yang berwibawa, dihormati dan komited terhadap keamanan sejagat.

Majlis Pembubaran MALBATT 850-12 dijadualkan berlangsung pada 4 Disember di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai simbolik rasmi kepada penamatan penugasan kontinjen tersebut dalam misi UNIFIL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast