Konsert Judika Live in Malaysia 2025 yang berlangsung pada 15 November lalu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, meninggalkan impak mendalam apabila ribuan peminat di negara ini.

KUALA LUMPUR – Konsert Judika Live in Malaysia 2025 yang berlangsung pada 15 November lalu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini telah meninggalkan impak kepada para peminat yang menyaksikan persembahan penyanyi terkenal Indonesia itu.

Konsert anjuran DTR Entertainment itu menampilkan produksi bertaraf antarabangsa yang direka khusus untuk peminat di Malaysia.

Dalam kenyataan kata DTR Entertainment, persembahan dibuka dengan set akustik oleh Kai Deva sebelum kemunculan dramatik Judika melalui platform hidraulik dari bawah pentas mencetuskan sorakan gemuruh para peminatnya.

Katanya, antara detik utama malam itu ialah pelancaran global pertama lagu dan video muzik Ku Sedang Sayang Sayangnya yang dipersembahkan secara eksklusif buat julung kali kepada peminat seluruh dunia.

Sepanjang hampir dua jam persembahan, Judika menyampaikan rangkaian lagu popular yang dekat di hati peminat tempatan termasuk Masing Masing (Ernie Zakri) dan Bukan Lagi Kita (Nadeera), selain duet bersama Kai Deva dan Shila Amzah.

“Tayangan montaj penghargaan projek khas Kerana Judika turut mencetuskan suasana emosional apabila reaksi sebenar Judika yang dirakam lebih awal dipaparkan di skrin utama.

“Salah satu kejutan terbesar ialah kemunculan Judika di pentas mini di hujung padang sebelum beliau berjalan mengelilingi stadium untuk berinteraksi lebih dekat dengan peminat di setiap zon,” katanya hari ini.

Difahamkan juga momentum persembahan melalui segmen remix oleh DJ Whisnu Santika yang memberikan sentuhan moden kepada beberapa lagu hit penyanyi itu.

Visual konsert diserlahkan dengan penggunaan gelang LED Xyloband yang menerangi seluruh stadium dalam warna-warna terang, sepadan dengan kod pakaian rasmi Roda Cinta Anda yang mewarnai lautan merah, hitam, putih dan biru dalam kalangan peminat.

Judika turut mempersembahkan Putus Atau Terus secara spontan sebelum menutup konsert dengan lagu Cinta Karena Cinta menjadikan finale malam itu penuh berkesan.

Sebagai penghargaan kepada peminat, semua pemegang tiket menerima Kit FanCare merangkumi air mineral, snek, tisu basah, kipas tangan dan gelang LED Xyloband untuk dibawa pulang satu inisiatif pertama seumpamanya dalam penganjuran konsert di Malaysia.

DTR Entertainment merakamkan penghargaan kepada semua peminat yang hadir serta rakan kerjasama yang menyokong penganjuran acara yang membawa pelbagai kenangan buat semua di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast