Gambar suasana ketika pengurusan jenazah almarhumah Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim. Sumber : Facebook 'Tekan Minyak'

KUANTAN – “Alin… Abah rindu Alin”.

Perkongsian nukilan pilu Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad, 49 berserta sekeping gambar swafoto terakhir bersama anak keduanya yang terkorban akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini meruntun jiwa ramai pembaca di laman Facebooknya, ‘Tekan Minyak’ sejak semalam.

Anaknya, Wan Adlin Nadhilah,23 meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di kilometer 126 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan simpang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Sabtu lepas.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, kali terakhir berjumpa anak keduanya yang mesra dipanggil ‘Alin’ ialah pada Jumaat lepas iaitu sehari sebelum kejadian kerana dia, isteri dan anak bongsu mereka menjenguk rumah kedua mereka di Balok, di sini.

Perkongsian swafoto Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad dengan almarhumah anaknya Wan Adlin Nadhilah menerusi laman Facebook ‘Tekan Minyak’.

“Alin tak ikut sama kerana dia ada program bersama anak ketiga saya, dua orang adik saya dan sepupu-sepupunya untuk ambil gambar pra konvo pada hari Sabtu.

“Gambar tu nak ambil sebab ramai tak dapat hadir masa konvo dia nanti, jadi ambil lah gambar awal.

“Dia sepatutnya ke Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada Isnin ni,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bercerita detik-detik hari kejadian, Wan Nasrul memberitahu menerima panggilan telefon daripada adik bongsunya pada jam 5.54 petang mengatakan bahawa kereta dinaiki anaknya itu terlibat kemalangan.

Tidak lama selepas itu pada jam 6.12 petang, dia menerima panggilan kedua yang memaklumkan bahawa ‘Alin’ telah meninggal dunia.

Wan Nasrul berkata, dia dan isteri, Fatin Sharina A. Halim, 46 terduduk dan hanya mempu mencari kekuatan selepas mengambil masa selama satu jam untuk memaklumkan berita itu kepada anak sulung mereka yang berada di utara tanah air.

Dia berkata, jenazah anaknya itu dibawa pulang ke rumah datuk dan neneknya di Mentakab, Temerloh kira-kira jam 12 tengah malam untuk disempurnakan.

“Pukul 4 pagi, di ruang tamu rumah mak dan ayah aku, aku cuba buka kain penutup muka Alin, aku renung muka dia, aku cium dahi dia, aku menangis macam budak kecil.

“Muka Alin seperti tiada apa-apa cedera, kata doktor yang bedah siasat, badan Alin pun tiada apa-apa cedera, tetapi kerana kepala Alin terhentak kuat, menyebabkan otak Alin cedera, menyebabkan Alin pergi serta merta,”katanya.

Keesokannya, jenazah Wan Adlin Nadhilah selesai dimandikan kira-kira jam 11 pagi dan dikebumikan sebelum Zohor.

“Aku imamkan solat jenazah dia, tak pernah aku sangka yang aku akan jadi imam solat jenazah untuk anak aku sendiri. Aku tak pernah pun jadi imam solat jenazah sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron ketika dihubungi berkata, kemalangan itu masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu lelaki berusia 38 tahun hilang kawalan, masuk ke laluan bertentangan.

“Proton Waja itu kemudian melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta jenis Volkswagen yang dinaiki empat wanita berumur antara 22 tahun hingga 55 tahun yang sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

“Akibat kemalangan tersebut, penumpang belakang iaitu wanita berumur 23 tahun yang merupakan penuntut sebuah universiti awam di Bangi telah tercampak keluar daripada kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast