Dr. Aznan Hasan (dua dari kiri) menyampaikan geran penyelidikan kepada Dr. Jamia Azdina Jamal bagi kajian Syariah. Mereka diiringi oleh Dekan, Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Dato’ Dr. Izhar Ariff Mohd Kashim (kiri) dan Pengerusi, Jawatankuasa Syariah, Maybank Islamic, Dr. Akhtarzaite Abdul Aziz (kanan).

KUALA LUMPUR – Shariah Forum 2025 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dan Maybank Islamic mengupas pandangan ulama silam dan moden tentang asnaf fi sabilillah bagi mengetengahkan satu pandangan yang boleh dijadikan rujukan global dalam pengagihan zakat.

Forum yang bertajuk Dimensi Baru Agihan Zakat Asnaf fi Sabilillah: Analisis Pandangan Syarak ini menghimpunkan lebih 150 peserta daripada pelbagai agensi agama seluruh Malaysia seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji, institusi zakat, jabatan mufti negeri, dan institusi kewangan Islam serta ahli-ahli akademik.

Forum ini menjadi platform untuk mengumpulkan pihak-pihak berautoriti berkenaan zakat seluruh Malaysia, serta membincangkan pandangan ulama silam dan moden berkenaan asnaf fi sabilillah.

Penganjuran Shariah Forum 2025 juga berlanjutan daripada satu geran penyelidikan yang disumbangkan Maybank Islamic bagi satu kajian Syariah bertajuk: “Contemporary Interpretations of Asnaf fi Sabilillah: A Comparative Analysis”, yang turut menyemarakkan dan menyokong aspek inovasi khususnya dalam kewangan Islam dan zakat.

Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi berkata, forum ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap isu muamalat dan cabaran semasa.

“Dalam dunia yang penuh cabaran ini, isu muamalat termasuk zakat memerlukan pendekatan yang bersifat holistik, berasaskan syarat hukum serta pemahaman konteks semasa.

“Sejarah Islam membuktikan zakat merupakan instrumen penting dalam mengurangkan jurang kemiskinan. Namun, walaupun kutipan zakat meningkat setiap tahun, ia tidak akan memberi makna sekiranya agihan tidak dilaksanakan dengan cekap, adil, dan berstrategi.

“Justeru, forum ini amat penting sebagai platform untuk membincangkan isu Syariah kontemporari, mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan dan memperkukuh hubungan akademia dan industri dalam memimpin agenda pemikiran kewangan Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Maybank Islamic, Prof. Datuk Dr. Aznan Hasan berkata, zakat sebagai salah satu rukun Islam memainkan peranan besar dalam membentuk sistem sosial ekonomi yang adil berlandaskan Syariah Islam.

“Salah satu perbincangan semasa berkaitan zakat ialah tafsiran asnaf fi sabilillah untuk menentukan bentuk agihan yang dibenarkan oleh Syariah di bawah kategori ini.

“Perkara ini memerlukan kita merujuk semula pandangan ulama dalam hal ini. Dalam konteks agihan zakat semasa, hal ini memerlukan satu kajian terperinci untuk dijalankan dalam menetapkan apakah tafsiran asnaf fi sabilillah yang sesuai dengan waqi’ atau realiti Malaysia, bahkan dalam waqi’ atau situasi dunia global,” katanya.

Beliau berharap agar forum ini dapat mengupas perbincangan asnaf fi sabilillah dengan tuntas serta mencadangkan satu tafsiran yang boleh diguna pakai dalam agihan zakat di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Para peserta yang hadir turut memberi maklum balas agar diwujudkan garis panduan asnaf fi sabilillah untuk panduan pihak berkepentingan zakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast