JAKARTA – Beratus-ratus rakyat Indonesia berpindah ke tempat perlindungan sementara pada hari Khamis selepas gunung berapi di pulau utama Jawa Meletus.
Gunung Semeru di timur Jawa meletus pada petang Rabu, melontarkan abu dan gas lebih 13 kilometer (lapan batu) jauhnya dan memaksa Indonedia menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
Aktiviti gunung berapi sebahagian besarnya telah reda tetapi masih turun naik pada hari Khamis, menurut agensi geologi Indonesia.
Hampir 900 orang dipindahkan ke tempat perlindungan yang didirikan di sekolah, masjid dan balai desa selepas letusan itu.
Pihak berkuasa juga telah memindahkan hampir 190 orang dari lereng gunung berapi itu pada hari Khamis, kebanyakannya adalah pendaki yang terkandas di tapak perkhemahan selepas letusan itu, kata Rudijanto Tjahja Nugraha, Ketua Taman Negara Semeru.
Letusan Semeru pada tahun 2021 telah mengorbankan lebih 50 orang dan merosakkan lebih 5,000 rumah, memaksa hampir 10,000 orang mencari perlindungan.
Indonesia terletak di “Lingkaran Api” Pasifik, yang mana pertemuan plat benua menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik yang besar.
Kepulauan Asia Tenggara ini mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. – Agensi
















